Categories
PBT SELANGOR

Parkir bertingkat MPSJ serendah RM1

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menetapkan kadar serendah RM1 bagi tempat letak kenderaan di Kompleks Tempat Letak Kereta Bertingkat MPSJ di SS15, di sini, bermula 4 September ini.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kadar itu dikenakan selama satu jam antara jam 7 pagi hingga 7 petang, Isnin hingga Jumaat.

Katanya, kadar sehari pula RM8 dan selepas jam 7 petang sebanyak RM2, bagi sekali masuk.

“Pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, bayaran RM2 dikenakan.

“Selain itu, bagi petak khas caj RM318 sebulan akan dikenakan, pas bulanan biasa RM159 serta pas pelajar RM127,” katanya dalam kenyataan.

Pada Julai lalu, kompleks parkir bertingkat itu mula dibuka kepada orang awam untuk mewujudkan persekitaran terancang, teratur dan selesa dalam kawasan komersial bagi masyarakat terutama penduduk serta peniaga di Subang Jaya.

parkir 2Ia bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan parkir, mengelakkan parkir haram, menyediakan tempat parkir selamat dan menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di SS15.

Projek setinggi empat tingkat itu menyediakan 630 unit parkir terdiri dari 605 unit parkir di dalam bangunan dan 25 unit parkir di luar bangunan, termasuk 14 unit parkir bagi orang kurang upaya serta 12 unit parkir khas bagi pemandu wanita.

Kompleks itu dibina bercirikan bangunan mesra alam dengan pencahayaan bangunan menggunakan lampu LED bagi penjimatan tenaga dan penggunaan cat lantai menggunakan bahan kimia epoxy selamat serta hijau.

Bangunan terbabit turut dilengkapi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam yang dihubungkan terus ke Bangunan Ibu Pejabat MPSJ bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.