Categories
SELANGOR

Pengurusan cemerlang, Worldwide Landfills Park dibukukan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kejayaan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) menguruskan tapak pelupusan sampah Worldwide Landfills Park kini diterbitkan dalam buku,’The Invisible Six Million Tonnes Air Hitam Sanitary Landfill’.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, penerbitan buku itu dijayakan bagi memberi gambaran sebenar kepada umum berkenaan perjalanan gerak kerja pengurusan tapak sisa terbabit.

Katanya, setiap kejayaan perlu dikongsi dan didokumenkan untuk tujuan rujukan semua pihak, terutama pelajar dan generasi akan datang.

“Buku ini akan mengumpulkan peristiwa penting berbentuk gambar dan perceritaan sejak bermulanya Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Air Hitam, pada 1995 sehingga berpindah ke tapak pelupusan baru di Jeram, pada 1 Januari 2007.

“Memandangkan buku ‘coffee table’ ini menceritakan pelupusan sisa pepejal di Air Hitam, maka ia akan dipenuh dengan gambar pengurusan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan Tiga Tapak Pelupusan Sanitari dan Pelancaran Sistem E-World, di Worldwide Landfills Park Air Hitam, Puchong semalam.

IMG_20170828_110043Worldwide Landfills Park yang dahulunya dikenali sebagai Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam, Puchong diuruskan Worldwide Holdings sebagai perintis atau ‘pioneer’ dalam pengurusan alam sekitar di Malaysia, khususnya bidang pelupusan dan rawatan sisa pepejal, pada 1995.

Bagaimanapun, tapak pelupusan sisa pepejal itu ditutup pada 2006 kerana ia mencapai tahap kapasiti maksimum apabila ia melupus dan merawat 6.2 juta tan sisa pepejal dari seluruh Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur.

Norazlina berkata, Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam yang merupakan ‘the first state-of-the art engineered sanitary landfill’ di Malaysia menerima banyak pengiktirafan di Malaysia juga Asean.

Beliau berkata, antaranya di peringkat ASEAN apabila menerima Green Energy Award 2005 seterusnya dianugerahkan pengiktirafan daripada The Malaysian Book of Records, pada 2011 sebagai loji janakuasa pertama yang menggunakan gas metana dihasilkan dari tapak pelupusan itu.

“Kejayaan terbesar kami juga melahirkan kepakaran dalam kalangan anak tempatan yang sudah mampu menawarkan perkhidmatan perundingan (consultancy) dalam pengurusan sisa pepejal untuk negara sekitar rantau Asia ini,” katanya.