Categories
SELANGOR

E-World mudah proses dokumentasi kutipan sampah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 OGOS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperkenalkan sistem E-World untuk mempermudahkan urusan rekod, rujukan dan dokumentasi pengurusan sisa pepejal yang dilupuskan di bawah seliaan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, inisiatif itu akan diaplikasikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengurus kutipan sisa pepejal seluruh negeri.

“Sistem E -World merupakan langkah strategik Worldwide Holdings dalam mempertingkatkan kecekapan pengendalian urusan pendaftaran di tapak pelupusan.

IMG_20170828_105837“Penggunaan data-data berkaitan akan disalurkan secara automatik ke sistem ini bertujuan meningkatkan kelancaran rekod pengurusan dan pemantauan kenderaan atau lori sampah yang masuk ke tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan Tiga Tapak Pelupusan Sanitari dan Pelancaran Sistem E-World, di Worldwide Landfills Park Air Hitam, Puchong semalam.

Norazlina berkata, pembaikan inisiatif berkenaan membuktikan komitmen agensi itu meningkatkan dan menambahbaik pengurusan sisa pepejal, terutama dalam urusan dengan PBT dan pihak berkaitan.

“Aplikasi ini juga sekali gus mendukung hasrat Kerajaan Negeri membangunkan Smart Selangor dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi pintar untuk mengurus perkhidmatan.

“Berpandukan kepada kepakaran yang ada, Worldwide Holdings akan terus memberikan komitmen dalam memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dilaksanakan dengan jaya, efektif dan berkesan,” katanya.