Categories
NASIONAL

Penjara dan dipukul, Azmin tak pernah cerca peribadi Tun M

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkongsi pengalaman menyingkap kisah dipukul dan dipenjarakan ketika zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah sesekali mencerca peribadi tokoh itu, apatah lagi bertindak melontar kasut seperti dilakukan anak muda dalam program Nothing To Hide 2.0, baru-baru ini.

“Saya pernah melawan pemerintahan Tun M, sejak 1998. Saya dipenjarakan oleh beliau, malahan Sebelum Datuk SeriAnwar Ibrahim ditangkap pada 20 September 1998, saya terlebih dulu ditangkap, pada 16 September 1998.

AZMIN ALI (1)“Malah, saya bukan sekadar ditangkap tetapi dipijak dan dipukul di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan dibawa ke Bukit Aman, setiap pagi,” katanya di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, ketika penahanannya itu, antara pegawai yang terbabit adalah Ketua Polis Selangor ketika ini, Datuk Mazlan Mansor.

“Ketika itu, saya hanya melawan dasar beliau (Tun M) dan tidak kecewa kerana saya dan pimpinan kini berjaya mengangkat kesedaran rakyat untuk membawa perubahan,” katanya.

Namun, apabila melihat gelagat anak muda yang sanggup diperdaya hanya kerana RM50, nyata Mohamed Azmin sangat kecewa.

“Segelintir golongan ini terpengaruh dengan dedak hanya kerana RM50. Mereka ini tidak ada kekuatan berhujah, tidak ada kekuatan menyanggah dengan ilmu dan ini saya kecewa juga bimbang.

“Kita berharap dan percaya nak muda di negeri ini perlu di ’empower’ bukan untuk diperdayakan.

“Jangan hanya kerana RM50 naik semangat membaling kasut, selipar. Ini bukan anak muda tetapi bacul kerana tidak berani berdepan dengan realiti negara, ketika ini,” katanya.