Categories
NASIONAL

Najib perlu henti politik takutkan rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menghentikan politik yang menakutkan rakyat, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemimpin nombor satu negara itu seharusnya melihat negeri yang diambil alih pembangkang diuruskan dengan lebih baik.

“Baru-baru ini, ada seorang dalam negara menyatakan perubahan tidak semestinya membawa kebaikan. Inilah politik yang menakutkan rakyat.

IMG_20170818_224010“Saya hendak menjawab. Wahai Najib, lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Perubahan adalah perkara yang sangat baik untuk rakyat kerana mereka semakin matang.

“Jangan sesekali takutkan mereka. Malah, negeri yang diberi sokongan rakyat ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan serta diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor, di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini menjalankan tanggungjawab dengan telus bukan sekadar mahu mendapatkan ‘habuan’.

“Jika sebelum ini tanah di Selangor diberikan kepada pemimpin politik dan setiap ketua bahagian sekurang-kurangnya 50 ekar.

“Namun, saya beri jaminan sejak 2008, tidak ada seinci tanah pun kita bagi pimpinan politik. Ini adalah satu perubahan besar, bahkan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menandatangani borang isytihar kepentingan sebelum mesyuarat bermula bagi memastikan semua pihak tidak mempunyai kepentingan sebelum kertas dibentang,” katanya.