Categories
EKONOMI SELANGOR

PKNS sasar jual 44 unit hartanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan penjualan 44 unit hartanah bernilai RM12 juta menerusi pameran Koleksi Hartanah di Plaza PKNS yang berlangsung selama 10 hari, bermula Jumaat lalu.

Pengurus Jualan Hartanah Wilayah Tengah PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani berkata, pameran sempena ulang tahun PKNS ke-53 itu bertujuan memberi pendedahan dan informasi terkini kepada pengunjung berkenaan projek hartanah serta komersial perbadanan terbabit.

Katanya, antara produk ditawarkan ialah Anggun 1 dan 2, Vega Residensi di City Berjaya, Citrina 2 dan 3 di Bernam Jaya, Opal Residensi di Shah Alam dan Puteri Daffina 2 di Kota Puteri.

“Pameran koleksi kali ini turut memberi peluang kepada pembeli yang menyasarkan hartanah di kawasan luar Lembah Klang.

“Ekoran menerima pelbagai maklum balas bagi memajukan projek di luar Lembah Klang, hampir 60 peratus projek dibangunkan iaitu kawasan Antara Gapi, Ijok, Klang dan Kuala Selangor,” katanya ketika Majlis Pelancaran Insentif MyPKNS dan pameran itu, baru-baru ini.

Terdahulu, PKNS menawarkan insentif tunai antara RM4,000 dan RM10,000 kepada orang ramai yang memperkenalkan hartanahnya kepada pembeli menerusi program Insentif MyPKNS.

Pengenalan insentif itu yang bermula hari ini sehingga 31 Disember 2018, diharap dapat merancakkan jualan projek hartanah PKNS.

Insentif itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Insentif Emas yang menawarkan imbuhan RM10,000 kepada pihak yang memperkenalkan hartanah RM1 juta ke atas, Insentif Perak (RM6,000 bagi hartanah antara RM400,000 dan RM1 juta) dan Insentif Gangsa (RM4,000 untuk hartanah bernilai bawah RM400,000).