Categories
NASIONAL

PM jangan guna agensi kerajaan alih isu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan tidak menyalahgunakan agensi kerajaan demi mengalihkan isu negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Ng Tien Chee berkata, dakwaan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Exconya, Phee Boon Poh, membuktikan Najib semakin buntu serta merancang penangkapan pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, perancangan dilakukan bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap pemimpin pembangkang diyakini tidak akan berhasil kerana rakyat bijak menilai dan membuat keputusan.

“Saya ingin mengingatkan Najib dan konconya supaya jangan menganggap rakyat tidak tahu bagaimana membezakan kenyataan serta fitnah.

“Fakta yang tidak dapat dinafikan iaitu kedua pemimpin DAP itu berani menafikan tuduhan dengan jelas dan kuat, manakala Najib tidak berani membuat penafian kerana tuduhan terhadapnya berasas,” katanya dalam kenyataan media.

balakong01Guan Eng menghadapi pertuduhan SPRM berkaitan isu pembelian banglo di bawah harga pasaran, manakala Boon Poh berhubung kilang haram yang beroperasi selama 10 tahun di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu berkata, seharusnya Perdana Menteri mengambil pendirian sama dan membuktikan dirinya tidak terbabit dengan pelbagai skandal termasuk isu 1Malaysia Development Berhad.

Beliau berkata, bagaimanapun Najib didakwa lebih berminat menuding jari kepada pihak lain dengan pelbagai tuduhan melalui agensi kerajaan serta media arus perdana dikuasai pentadbirannya.

“Najib satu-satunya pemimpin yang berjaya membawa negara kita ke pentas antarabangsa tetapi dengan impak negatif.

“Malaysia kini menjadi bahan ketawa di seluruh dunia,” katanya.