Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: Selamat tinggal Umno?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Badan pemikir, Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan Umno bakal kehilangan undi Melayu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ekoran perselisihan faham antara pemimpin parti itu dengan bekas pemimpinnya.

Pengarah eksekutif KPRU, Ooi Heng berkata, hal sama pernah berlaku antara bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dua anggota tertinggi partinya ketika menghadapi dua pilihan raya, pada 1990 dan 1996.

Katanya, situasi itu menyebabkan undi Melayu kian merosot terhadap Umno, sekali gus parti berkenaan bakal kehilangan beberapa kerusi Parlimen.

“Hal ini terbukti apabila Tengku Razaleigh Tengku Hamzah mengambil keputusan menubuhkan parti Semangat 46, sekali gus menyaksikan UMNO kehilangan 12 kerusi dari 83 kerusi dimenanginya pada 1986 dan hanya memperoleh 71 kerusi, pada 1990.

“Situasi sama berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 yang menyaksikan beberapa ahli UMNO mengambil keputusan menubuhkan KEADILAN.

“Akibatnya, 17 kerusi Parlimen Umno hilang dari 89 kerusi dimenangi, pada 1995 kepada 72 kerusi, pada 1999,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjangkakan Umno akan kehilangan 15 ke 20 kerusi Parlimen iaitu dari 88 kerusi, pada PRU-13 kepada 73 atau 68 kerusi jika parti itu tidak mencari cara memikat pengundi Melayu.

Pada masa sama, Ooi berpendapat langkah Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyebabkan Umno berada dalam situasi kritikal.

“Dengan Dr Mahathir yang mempunyai pengalaman menerajui kerajaan selama 22 tahun dan senario pilihan raya umum 2008 juga 2013, rakyat boleh melihat landskap politik negara ini banyak berubah,” katanya.