Categories
NASIONAL

TLDM hantar empat kapal bantu operasi menyelamat

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar empat kapal membantu kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat yang terlibat dalam pelanggaran dengan kapal dagang di timur perairan Johor, hari ini.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, TLDM bersama beberapa agensi keselamatan lain dikerah membantu operasi SAR USS John S. McCain yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Beliau berkata, aset TLDM yang terlibat dalam SAR adalah Kapal Diraja (KD) Handalan, KD Gempita, KD Lekiu, CB90 dan sebuah helikopter Super Lynx.

Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia turut terlibat .

Ahmad Kamarulzaman berkata, KD Handalan menerima panggilan kecemasan daripada kapal USS John McCain awal pagi ini berkenaan kemalangan itu.

“Kapal USS yang mengalami kerosakan itu sedang dalam perjalanan menuju ke pelabuhan Singapura.

“Kita doakan semoga 10 anak kapal itu ditemui dengan selamat,” katanya kepada Bernama.

USBeliau juga memohon nelayan di perairan Johor dan Pahang yang berada di laut untuk membantu TLDM serta APMM dalam operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam laman Twitternya berkata beliau telah mengarahkan Panglima TLDM untuk menghulurkan bantuan SAR dan berdoa agar mangsa yang dihilang ditemui dengan selamat.

“Saya telah arahkan @mykamarul @tldm_rasmi untuk menghulurkan bantuan sepenuhnya. Saya berdoa agar mereka yang hilang ditemui selamat. @USNavy,” katanya.

Menurut laman web Commander, US 7th Fleet, kapal pemusnah peluru berpandu itu (DDG 56) terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah kapal dagang Alnic MC semasa dalam perjalanan ke timur Selat Melaka dan Singapura, hari ini.

“Pelanggaran itu dilaporkan pada 6:24pagi zon waktu standard Jepun, manakala kapal itu dalam perjalanan untuk lawatan rutin pelabuhan di Singapura,” menurut laman web itu.