Categories
GLOBAL

Ribuan guru Chile mogok, 35 sekolah tergendala

SANTIAGO, 19 OGOS: Pengenalan Akta Pendidikan Awam Baru mengundang mogok ribuan guru di Chile yang mendakwa ia tidak membawa sebarang perubahan dan menyelesaikan masalah sedia ada.

Mereka juga menuntut pihak perbandaran melunaskan hutang yang terpaksa ditanggung ekoran mengupah pekerja dalam menyelesaikan projek pendidikan awam.

Presiden Kesatuan Guru, Mario Aguilar berkata, mogok tersebut menyebabkan kira-kira 35 sekolah di Santiago tidak dapat memulakan kelas.

“Terdapat masalah hutang yang serius, lebih 120 majlis perbandaran berhutang dengan guru dan projek pendidikan awam baharu yang bakal diberikan kepada guru akan menambah lagi hutang,” katanya.

Aguilar berkata, perbincangan telah diadakan selama enam bulan dengan kerajaan tetapi setakat ini tiada tindak balas konkrit bagi mengatasi masalah terbabit.

Bantahan juga akan diadakan di bandar Valparaiso, Concepcion, Arica, Copiapo, Antofagasta dan La Serena.

– Bernama