Categories
SELANGOR

RM5.1 juta jayakan RSS sejak 2011

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sejumlah RM5.1 juta dibelanjakan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) untuk menjayakan program Rangsangan Sukan Selangor (RSS), sejak 2011.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, ia termasuk RM1.45 juta yang diperuntukkan bagi program RSS tahun ini.

Katanya, RSS membabitkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah.

“Matlamat utama program adalah memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta menggalakkan gaya hidup sihat.

“Ia juga bertujuan menanam minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan,” katanya dalam kenyataan.

PERANGSANG FAUZISehingga kini, RSS berjaya menarik 13,873 peserta dalam lapan jenis sukan berkenaan menerusi 104 program di seluruh Selangor.

Ia termasuk renang dengan 3,176 peserta, badminton (1,137), bola sepak (989), berbasikal (890), bowling (819), memanah (612), sepak takraw (515) dan skuasy (429).

Ia turut merangkumi penyertaan di dalam Kejohanan Piala Raja Muda Selangor iaitu 808 peserta pada 2014, 876 (2015) dan 926 (2016).

Sementara itu, Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari pula menarik 844 peserta pada 2014, 896 (2015) dan 956 (2016).