Categories
SELANGOR

Perangsang anjur latihan keselamatan cegah lemas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Lebih 1,300 pelajar menyertai Program Keselamatan Air dan Pencegahan Lemas anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6, Kota Damansara, baru-baru ini.

Penolong Kanan Kokurikulumnya, Ramli Tausa berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran berhubung aspek keselamatan ketika berada di dalam air serta langkah mengelakkan kejadian lemas.

“Kami amat mengalukan program seperti ini kerana ia sangat baik dan berharap ia dapat diperluaskan ke sekolah lain.

“Dengan pendedahan seperti ini, pelajar dan guru dapat mempelajari teknik asas bantuan kecemasan kerana bantuan awal seperti ‘CPR’ adalah kritikal untuk menyelamatkan mangsa lemas,” katanya, lapor Perangsang dalam kenyataan.

Program kendalian Supersharkz Swim School itu adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perangsang di bawah program ‘Sukan Untuk Semua’, Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

BN5A5998Ia mensasarkan sekolah yang berminat mendapatkan maklumat serta latihan kecemasan berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam dan CSR Perangsang, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, pihaknya mensasarkan 5,200 penyertaan pelajar menerusi empat siri kempen keselamatan dan pencegahan di sekolah seluruh Selangor, tahun ini.

Katanya, sasaran itu turut merangkumi penyertaan Karnival Renang ‘I Can Swim’ serta klinik renang secara mingguan untuk kanak-kanak kelainan upaya di tiga lokasi iaitu Shah Alam, Kota Damansara dan Puchong.

“Kempen di sini (SK Seksyen 6) merupakan siri ketiga selepas penganjuran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 dan SK Bukit Beruntung 2 dengan penglibatan seramai 2,557 pelajar dan guru,” katanya.