Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay tidak pinggirkan Orang Asal

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 14 OGOS: Orang Asal di perkampungan Pulau Indah yang termasuk dalam projek berimpak tinggi, Selangor Bio Bay (SBB) tidak akan dipinggirkan arus pemodenan itu.

Malah, kira-kira 200 penghuni di kampung itu akan dibantu menerusi projek menaik taraf kawasan termasuk perumahan dan pembinaan tapak perniagaan bagi meneruskan aktiviti harian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri mahu mengekalkan budaya dan tradisi orang asal supaya tidak lupus ditelan arus pembangunan.

“Perkampungan tradisi ini akan dibangunkan tanpa memindahkan penghuninya seperti beberapa pembangunan yang lazim dilaksanakan.

“Uniknya projek ini, kita mengekalkan perkampungan sedia ada serta membersihkan kawasan mereka supaya landskapnya terjaga dan membina jeti baru memudahkan urusan harian dalam mencari pendapatan, sekali gus membina tapak perniagaan seperti pasar nelayan.

“Ketika ini, CSSB turut membina tiga rumah baru untuk mereka. Kaum ini mempunyai budaya, tarian dan tradisi yang perlu dikekalkan, jadi mereka boleh hidup seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek SBB, di Pulau Indah, di sini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

IMG_0307Mahmud berkata, dengan mengekalkan perkampungan tradisi sedia ada, SBB akan menonjolkan budaya kepada pelancong dalam dan luar negara, sekali gus mewujudkan kawasan eko tourism.

“Konsepnya memodenkan kawasan kampung termasuk orang asal tetapi tidak membandarkannya supaya kita dapat menjaga budaya dan alam sekitar.

“Ia menjadikan SBB bukan sahaja sebagai pusat industri tetapi juga kawasan rekreasi yang boleh menarik pelancong luar datang ke SBB,” katanya.

Sementara itu, Chang Khim berkata, SBB yang merupakan tapak penjanaan ekonomi terbesar Selangor turut memberi peluang pekerjaan graduan dalam bidang bioteknologi, sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat menerusi sektor perkilangan yang diwujudkan.

“Kita sekarang dalam usaha menarik pelabur khususnya sektor perkilangan. Sukar dijangkakan anggaran peluang pekerjaan, namun melihat kepada tapak industri yang sangat besar di Malaysia ini sudah tentu ia mampu menjana pendapatan kepada pelbagai golongan,” katanya.