Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Bio Bay anjakan industri 4.0, asas inovasi kreatif

OLEH AFIX REDZUAN

PULAU INDAH, 24 SEPT: Selangor Bio Bay bakal memberi anjakan paradigma terhadap usaha transformasi Selangor sebagai negeri pintar serantau.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anjakan strategik itu menuju industri 4.0 berasaskan inovasi kreatif, kemajuan digital, teknologi tinggi dan pengetahuan ekonomi.

“Kerajaan Negeri segera menggarap peluang ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Selangor Bio (Selangor Bio Council) sebagai pemacu pembangunan industro bioteknologi dan menjana pertumbuhan ekonomi.

“Jawatankuasa bertanggungjawab menjadikan Selangor sebagai Hab Bioteknologi Asia melalui pembangunan Selangor Bio Bay,” katanya ketika menyampaikan ucaptama, pada Majlis Pelancaran Selangor Bio Bay, di Pulau Indah, di sini.

Katanya, Selangor Bio Bay adalah model pembangunan khusus yang akan menarik pelabur merangkumi pharmaceutical, neutracrutical, peralatan perubatan dan produk berasaskan sawit.

bio bayPada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Selangor Bio Bay akan menyediakan ‘Bio Accelerator Centre’ sebagai makmal terbuka buat syarikat yang melabuh di Pulau Indah.

“Penggunaan palm oil industrial acid dalam pembuatan pharmaceutical dan neutraceutical sedang berkembang selari kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Justeru, Selangor Bio Bay boleh menjadi lokasi paling sesuai untuk aktiviti industri ini, malah akan berperanan sebagai hab R&D dalam sektor ini,” katanya.

Pembangunan Selangor Bio Bay bernilai RM5.5 bilion dilaksanakan di atas tapak berkeluasan 1,000 ekar dan dijangka siap penghujung tahun ini.

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas turut menandatangani perjanjian persefahaman bersama KDS Global yang diwakili Pengarah Urusan, Park Mee Nah.

Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay tidak pinggirkan Orang Asal

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 14 OGOS: Orang Asal di perkampungan Pulau Indah yang termasuk dalam projek berimpak tinggi, Selangor Bio Bay (SBB) tidak akan dipinggirkan arus pemodenan itu.

Malah, kira-kira 200 penghuni di kampung itu akan dibantu menerusi projek menaik taraf kawasan termasuk perumahan dan pembinaan tapak perniagaan bagi meneruskan aktiviti harian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri mahu mengekalkan budaya dan tradisi orang asal supaya tidak lupus ditelan arus pembangunan.

“Perkampungan tradisi ini akan dibangunkan tanpa memindahkan penghuninya seperti beberapa pembangunan yang lazim dilaksanakan.

“Uniknya projek ini, kita mengekalkan perkampungan sedia ada serta membersihkan kawasan mereka supaya landskapnya terjaga dan membina jeti baru memudahkan urusan harian dalam mencari pendapatan, sekali gus membina tapak perniagaan seperti pasar nelayan.

“Ketika ini, CSSB turut membina tiga rumah baru untuk mereka. Kaum ini mempunyai budaya, tarian dan tradisi yang perlu dikekalkan, jadi mereka boleh hidup seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek SBB, di Pulau Indah, di sini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

IMG_0307Mahmud berkata, dengan mengekalkan perkampungan tradisi sedia ada, SBB akan menonjolkan budaya kepada pelancong dalam dan luar negara, sekali gus mewujudkan kawasan eko tourism.

“Konsepnya memodenkan kawasan kampung termasuk orang asal tetapi tidak membandarkannya supaya kita dapat menjaga budaya dan alam sekitar.

“Ia menjadikan SBB bukan sahaja sebagai pusat industri tetapi juga kawasan rekreasi yang boleh menarik pelancong luar datang ke SBB,” katanya.

Sementara itu, Chang Khim berkata, SBB yang merupakan tapak penjanaan ekonomi terbesar Selangor turut memberi peluang pekerjaan graduan dalam bidang bioteknologi, sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat menerusi sektor perkilangan yang diwujudkan.

“Kita sekarang dalam usaha menarik pelabur khususnya sektor perkilangan. Sukar dijangkakan anggaran peluang pekerjaan, namun melihat kepada tapak industri yang sangat besar di Malaysia ini sudah tentu ia mampu menjana pendapatan kepada pelbagai golongan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay di landasan betul

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 14 OGOS: Perkembangan pembangunan berimpak tinggi, Selangor Bio Bay (SBB) yang giat dilaksanakan mencapai tahap membanggakan, setakat ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, projek terbesar dan moden di dunia itu, kini memasuki fasa pertama pembangunan infrastruktur dan landskap.

Katanya, fasa pertama membabitkan tanah seluas 300 ekar itu membabitkan 91 tapak perindustrian dengan masing-masing seluas 1 ekar, dijangka bermula Januari depan.

“SBB memfokuskan industri bioteknologi terbesar membabitkan 1,070 ekar tanah di Pulau Indah.

“Bagi fasa pertama, projek pembangunan komersial akan dibangunkan secara keseluruhannya bagi pemaju yang mahu mendirikan aktiviti perkilangan di kawasan SBB.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan projek ini dan percaya ia mampu mewujudkan ekosistem menerusi pembangunan bercampur,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek SBB, di Pulau Indah, di sini.

IMG_0441Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Chang Khim berkata, selepas dua tahun pelan pembangunan keseluruhan dirancang, SBB akan mula membuka galeri pameran yang bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 24 September ini.

Terdahulu, Mahmud berkata, SBB akan dibangunkan merangkumi tiga presint dan lima fasa dalam tempoh 20 tahun secara berperingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.5 bilion.

Katanya, pembangunan bercampur membabitkan industri dan perumahan mewah itu menampilkan pelbagai kompenan antaranya pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta gaya hidup sihat.

Bagi fasa pertama, SBB akan dibangunkan dengan kawasan industri dan komersial, fasa kedua membabitkan kawasan perumahan kondominium juga pusat rekreasi serta fasa ketiga membabitkan kawasan pelancongan hotel dan chalet.

Selain itu, fasa keempat SBB akan dibangunkan dengan Biotech Accelerator Centre dan fasa kelima membabitkan pusat rekreasi Royal Selangor Yacht Club.

Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay ke Kanada 23 Julai

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 20 JULAI: Pembangunan berimpak tinggi ‘Selangor Bio Bay’ (SBB) menerusi industri bioteknologi akan dibentangkan di Kongres Bioteknologi yang bakal berlangsung di Montreal, Kanada, pada 23 hingga 26 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, produk bioteknologi adalah projek yang menerima respon positif dari negara luar dalam beberapa siri promosi di beberapa negara, bermula tahun lalu.

“Saya berbesar hati diberi peluang membentangkan projek ini dalam kongres itu dengan kebanyakan pemain dalam industri bioteknologi akan hadir. Saya menjangkakan projek ini mampu memberi impak positif kepada pemain industri daripada pelbagai negara.

Mahmud Abbas“Apabila SBB mempunyai produk dan fasiliti yang baik, pemain industri akan datang ke sini, sekali gus akan menjadi terkenal di mata dunia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka CSSB di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Selain itu, Mahmud turut memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan ‘Suzhou Industrial Park’, China, untuk membina Biotech Accelerator Centre yang akan menjadi nadi bio bay, di sini.

Katanya, ia bagi membolehkan syarikat atau pemain industri itu menjadikan pusat ini sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang beroperasi dalam SBB.

“Selain Suzhou, kita juga mendapat kerjasama baik dari Universiti Selangor dan beberapa universiti tempatan lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, syarikat bioteknologi dari San Francisco sudah mengadakan lawatan ke Pulau Indah dan menunjukkan minat positif, baru-baru ini.

Difahamkan, lawatan ke Kanada itu akan turut disertai Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.