Categories
SELANGOR

Selangor konsisten pacu agenda peduli rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Semangat kemerdekaan negara menjadi landasan terbaik bagi Kerajaan Negeri kekal memacu agenda kebajikan peduli rakyat demi membangunkan Selangor sebagai negeri maju.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kelangsungan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada warga Selangor diteruskan berpandukan semangat dan tekad perpaduan seluruh negeri.

“Tahun ini, rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan ke-60 dengan tekad mengekalkan keharmonian dan perpaduan dengan menolak anasir jahat dari dalam ataupun luar negara yang mahu menghancurkan kita.

“Semoga kemerdekaan ini mendidik kita pentingnya perjuangan untuk terus maju ke arah Malaysia Baru dan memacu rencana peduli rakyat supaya nikmat kemerdekaan itu dirasai sehati sejiwa,” katanya dalam perutusan kemerdekaan..

yb-zaidySementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, masyarakat seharusnya memahami pengertian sebenar kemerdekaan, berpandukan fahaman jiwa bebas tanpa dipengaruhi mana-mana sentimen.

“Kemerdekaan sebenar bukat setakat bebas dari penjajahan kolonial tetapi bebas jiwa dan minda dari sebarang kongkongan melainkan berserah sepenuhnya kepada Allah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, beliau berharap kemerdekaan ke-60 itu membawa sinar baru kepada seluruh masyarakat Selangor.

“Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan. Semoga Selangor sentiasa maju dan menjadi medan harapan kepada generasi muda,” katanya.