Categories
KENYATAAN MEDIA

Serahan Warkah Rakyat kepada YDP Agong

Tujuan Warkah ini diserahkan kepada DYMM YDP AGONG adalah untuk membawa ke perhatian Tuanku YDPA, akan perkara-perkara berikut :

1. Isu pelantikan semula kedua-dua jawatan kehakiman yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7.7.17 adalah mencabuli Perlembagaan.

2. Mana-mana jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun, dan 6 bulan.

3. Memandangkan pelantikan semula itu, menurut Perlembagaan adalah dibuat oleh Tuanku YDPA (di atas nasihat Perdana Menteri), maka Tuanku lah, yang berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan oleh Mahkamah sebelum ianya berkuatkuasa.

4. Pelanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara itu yang disandang oleh YAA MD RAUS SHARIF, akan mula kuatkuasa dalam dua hari lagi iaitu pada 4.8.17.

5. Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ianya akan mewujudkan satu KRISIS KEHAKIMAN kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4.8.17 akan menjadi TIDAK SAH.

Juga, sistem pentadbiran kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi CACAT disebabkan bukan diuruskan oleh hakim yang sah di sisi perlembagaan.

6. Di bawah Perkara 130, cuma Tuanku YDPA yang boleh buat RUJUKAN permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

7. Ini adalah untuk menjamin Tuanku YDPA dapat memelihara keluhuran perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan NEGARA dan RAKYAT TUANKU.

 

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Hari ini, kami telah menyembahkan warkah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membawa ke perhatian Tuanku YDPA beberapa perkara seperti berikut:

1. Isu perlantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai 2017 adalah mencabuli Perlembagaan Persekutuan.

2. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

3. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, perlantikan dua jawatan yang diumumkan itu adalah dibuat oleh Tuanku YDPA di atas nasihat YAB Perdana Menteri; maka Tuanku berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan Mahkamah sebelum ianya berkuatkuasa.

4. Perlanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang YAA Tan Sri Md Raus Sharif akan berkuatkuasa dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 4 Ogos 2017.

5. Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ia akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4.8.17 akan menjadi TIDAK SAH. Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi Perlembagaan.

6. Di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Tuanku YDPA yang boleh membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

7. Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam PAKATAN HARAPAN, melalui warkah ini menyeru agar Tuanku YDPA melaksanakan budibicara Tuanku untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula itu sah ataupun tidak.

8. Ini adalah untuk menjamin Tuanku YDPA dapat memelihara keluhuran perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan Rakyat dan negara.

YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

YB Datuk Dr Mujahid Yusof
Naib Presiden AMANAH

2 Ogos 2017