Categories
SELANGOR

SSCC permudah pantau kebakaran hutan simpan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Smart Selangor Command Centre (SSCC) melancarkan operasi pemantauan dan pelarasan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor.

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana (UPB), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, ia termasuk pemantauan keluasan menerusi satelit, bacaan indeks pencemaran udara, radar cuaca, ramalan arah angin serta menyelaras komunikasi antara jabatan.

“UPB menggunakan dua ‘drone’ dan tiga pam berkuasa tinggi bagi membantu operasi tapak di kawasan terlibat.

“Dengan adanya SSCC, maklumat satelit juga dapat diselaras dan pemantauan dapat dimaklumkan dalam kadar segera,” katanya lapor Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Pada 3 Ogos lalu, Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 100 hektar dilapor mula terbakar dan usaha pemadaman ke atas kira-kira 85 ekar masih dijalankan.

Sementara itu, Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor seluas 120 hektar pula dilapor mula terbakar sejak 8 Ogos lalu dan kini masih berbaki 10 hektar untuk dipadamkan.

Ahmad berkata, UPB turut melakukan ‘water bombing’ menggunakan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pam berkuasa tinggi, telaga air khas (tube well) dan jentera penggali (excavator).

Katanya, operasi di kedua kawasan kebakaran membabitkan lebih 200 anggota petugas.

“Punca kebakaran dikhuatiri ekoran aktiviti manusia, tambahan pula musim monsun barat daya yang sedang dialami sekarang ini, kebakaran lebih mudah merebak.

“Orang ramai diminta berhati-hati di kedua kawasan itu dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Mula beroperasi di SSCC sejak 1 Ogos lalu, UPB menyelaras operasi bersepadu dan pemantauan 24 jam di kedua kawasan membabitkan lebih 60 agensi, jabatan dan badan bukan kerjaaan.

Operasi awal SSCC tertumpu kepada pemantauan aset negeri seperti lampu trafik, keadaan jalan raya, pemantauan bas Smart Selangor, pengurusan sampah, indeks pencemaran udara dan air serta operasi UPB.

sdr

Kawasan Kebakaran di Kuala Selangor Kebakaran di Kuala Langat Utara Water bombing di Kuala Langat