Categories
NASIONAL

20 rumah setinggan Wakaf Mek Zainab terbakar

KOTA BHARU, 23 SEPT: 20 unit rumah setinggan di Wakaf Mek Zainab, di sini, musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 2.45 pagi tadi, menyebabkan 30 mangsa tinggal sehelai sepinggang.

“15 unit rumah setinggan itu mempunyai penghuni, manakala lima lagi tidak berpenghuni.

“Seramai 26 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihak kami menerima panggilan, pada jam 2.52 pagi,” katanya lapor BERNAMA.

Zaini berkata, 10 unit rumah setinggan yang dibina menggunakan kayu musnah ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian.

“Kediaman yang disewa itu dibina berdekatan antara satu sama lain dengan keluasan 10×15 menyebabkan api cepat merebak. Api dapat dikawal dalam 45 minit, namun semua 20 unit kediaman itu tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.