Categories
NASIONAL

Malaysia desak OIC bersatu bantu Rohingya

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Malaysia mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu menghulurkan bantuan terhadap etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia ekoran tindakan keganasan terhadap etnik itu di wilayah Rakhine, sejak 25 Ogos lalu semakin membimbangkan.

Katanya, pelakuan yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa itu mencetuskan krisis kemanusiaan sehingga menyaksikan lebih 400,000 etnik Rohingya melarikan diri mencari perlindungan di Bangladesh.

“Saya ingin mengambil kesempatan memuji usaha mulia Bangladesh kerana membantu masyarakat Rohingya susulan nasib yang menimpa etnik berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Koordinasi Tahunan OIC di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor BH Online.

Anifah berkata, pelarian Rohingya yang ketika ini berada dalam keadaan terdesak dijangka menjadi sasaran mudah untuk direkrut dan radikalisasi puak pelampau jika kemelut di Myanmar tidak ditangani secara tuntas.

Sehubungan itu, Malaysia mendesak Myanmar menghentikan siri keganasan yang meruncing di republik berkenaan, selain memberi laluan kepada misi kemanusiaan menghantar bantuan di wilayah berkaitan.

“Punca sebenar konflik ini wajar dikenal pasti jika kita ingin memperoleh penyelesaian yang akan kekal selamanya,” katanya.