Categories
NASIONAL

Ada penceroboh sebelum kebakaran tahfiz – PPIM

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan terdapat kelibat seorang lelaki memanjat pagar sebelum menceroboh masuk ke kawasan premis bersebelahan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Perkara itu disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat PPIM yang dirakam sekitar jam 3.10 pagi, kata Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata, kelibat lelaki berkenaan dirakam sebahagian dari 16 CCTV di pejabat PPIM.

“Suspek dikesan masuk melalui pintu pagar kiri sebelum melalui pekarangan pejabat PPIM dan menuju ke bahagian kanan yang juga bersebelahan pusat tahfiz berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan pencerobohan ke pusat tahfiz itu,” katanya dalam sidang media.

Nadzim berkata, pihaknya sudah menyerahkan semua rakaman berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut, setelah meneliti semua rakaman, sejak pagi tadi.

“Kita tidak tahu motif sebenar pencerobohan lelaki terbabit, namun tidak menafikan kemungkinan turut menyasarkan pejabat PPIM,” katanya.