Categories
SELANGOR

Tanah hak rakyat, bukan pemimpin

SUBANG, 15 SEPT: Kepimpinan Selangor diingatkan untuk tidak menyalahguna kedudukan dan kuasa yang ada dalam mengumpul aset kekayaan khususnya hartanah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemimpin tidak berhak mendapat sebarang tanah dalam Selangor kerana ia adalah hak rakyat.

“Kita pernah dengar sebelum ini, pimpinan parti politik bukan dapat sebidang tanah tetapi berpuluh ekar, itu realitinya yang tak ada mana-mana pihak boleh menafikan.

“Tetapi hari ini, saya nak nyatakan dengan tegas dan berani di depan semua rakyat Selangor bahawa pemimpin tidak boleh dan tidak berhak mendapat sebarang tanah dalam negeri Selangor ini kerana ini adalah hak rakyat,” katanya.

IMG_0357Mohamed Azmin berkata demikian pada Majlis Jamuan Rakyat sempena Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan, di Masjid Taman Subang Perdana, hari ini.

Sekurang-kurangnya 64 keluarga dari Kampung Melayu Subang Tambahan menerima Notis 5A.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan baucer pembiayaan mikrokredit HIJRAH Selangor berjumlah RM593 ribu kepada 49 usahawan.