Categories
GLOBAL

Angka korban gempa bumi Mexico meningkat

JUCHITAN DE ZARAGOZA 10 SEPT: Seramai 65 penduduk disahkan terkorban dalam gempa bumi yang melanda Mexico, pada Khamis lalu, termasuk dua mangsa yang tertimbus dalam lumpur akibat taufan Katia.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah kematian akan meningkat, selepas lebih banyak mayat ditemui di Oaxaca dan Chiapas, lapor AFP.

Pada masa sama, di Juchitan, Oaxaca, ratusan keluarga terpaksa berkhemah di jalanan, berikutan kebimbangan berlakunya gempa susulan.

Setakat ini, Perkhidmatan Seismologikal Mexico sudah melaporkan sebanyak 721 gempa susulan.

Gempa1Dalam pada itu, Presiden Enrique Pena Nieto menyifatkan gempa bumi yang berlaku adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun, malah lebih teruk berbanding gempa bumi pada 1985 yang mengorbankan lebih 10,000 mangsa di Mexico City.

Gempa bumi baru-baru ini dicatatkan berukuran 8.2 magnitud, berbanding gempa bumi pada 1985 yang direkodkan pada kekuatan 8.1 magnitud oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Ia dilaporkan berpusat di Lautan Pasifik, iaitu kira-kira 100 kilometer di luar bandar Tonala di Chiapas.

=EZY=