Categories
PBT SELANGOR

Bajet MPSepang sasar tujuh strategi tingkat pendapatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mensasarkan tujuh strategi Bajet 2018 bertujuan mempelbagaikan punca pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, perancangan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kepesatan pembangunan MPSepang.

Oleh itu, katanya, penyediaan Bajet 2018 turut merujuk prestasi pencapaian Bajet 2016 dan pencapaian separuh penggal pertama 2017.

“MPSepang mensasarkan tujuh strategi bagi mempelbagaikan pendapatan melalui penambahan hasil sedia ada, perbelanjaan berhemah dan memperkukuhkan program ‘Back To Basic’.

puasa“Selain itu melaksanakan ‘Gardening Concept’ supaya kawasan perumahan di bawah seliaan MPSepang sentiasa kemas dan bersih bagi meningkatkan kebolehcapaian pelanggan kepada sistem penyampaian.

“Pada masa sama, MPSJ giat memperkemas program kemasyarakatan juga kebajikan, meningkatkan kesedaran dan pelaksanaan inisiatif hijau serta menekankan aspek program pembangunan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MPSepang membentangkan Bajet 2018 dengan tema ‘Bajet Mampan Rakyat Sejahtera’ pada sesi Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis, MPSP Bil 9/2017.

Anggaran Bajet 2018 disediakan dengan anggaran hasil berjumlah RM150 juta dan anggaran perbelanjaan RM149.95 juta.

Manakala, lebihan bajet bagi tahun 2018 adalah RM50,000 dengan peratusan anggaran perbelanjaan mengurus bagi mengurus adalah 71 peratus.

Sementara itu, peratusan anggaran perbelanjaan pembangunan adalah 29 peratus dan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak 74 peratus dengan anggaran belanja pembangunan pula 26 peratus.