Categories
KENYATAAN MEDIA

Perlu tegas tangani warga asing kuasai dunia perniagaan

OLEH WILLIAM LEONG

Saya ambil maklum situasi semasa mengenai lambakan warga asing yang semakin rancak melakukan aktiviti premis perniagaan peruncitan di ibu negara, mereka bukan lagi sebagai pekerja malah berani mengusahakan perniagaan di negara ini.

Jika sebelum ini Jalan Silang, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Bukit Bintang ‘dikuasai’ warga asing terdiri daripada warga Nepal dan Bangladesh, namun kini ia telah merebak dan menguasai di Pasar Borong Selayang yang cukup popular sebagai lokasi pemborong barangan keperluan harian.

1. Dengan kebanjiran warga asing di Selayang, ia sudah pasti amat membimbangkang penduduk tempatan. Malah, lambakan yang tidak terkawal akan memberi kesan yang cukup negatif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan keselamatan sosial tetapi juga kepada keselamatan negara.

Kebanjiran pekerja asing di negara kita seringkali menjadi polemik. Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan sebanyak 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit dan bakinya adalah imigran haram.

2. Sekarang kita melihat warga asing bukan sahaja lagi sebagai pekerja tetapi mereka sendiri mengusahakan perniagaan sendiri. Ditambah pula dengan tindakan peniaga tempatan menyewakan premis kepada warga asing turut menyumbang kepada kebanjiran mereka.

Mengapa pendatang asing memperoleh peluang perniagaan di negara ini sedangkan mereka sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan?

3. Oleh itu, saya menggesa pihak yang berwajib supaya lebih tegas dalam isu ini dan jangan membiarkan warga asing ini menutup peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Saya juga agak kecewa dengan senario ini, kerana tiada pihak yang memandang serius mengenai perkara ini yang akan berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak tempatan.

Sehingga hari ini begitu banyak peniaga warga asing yang jelas menunjukkan pihak berkuasa gagal bertindak terhadap golongan itu. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk tanggapan berlaku rasuah dalam melindungi peniaga asing itu.

4. Isu monopoli oleh warga asing ini bukan hanya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja tetapi di seluruh negara. Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyatnya.

Kebanjiran pendatang asing tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka mampu menguasai ekonomi negara sekiranya terus diberi peluang.

Warga asing itu sepatutnya hanya bekerja di sektor yang dibenarkan dan bukan menjalankan perniagaan atau menjadi kontraktor kecil.

5. Meskipun pelbagai usaha agresif dijalankan pihak berkuasa termasuk penghantaran pulang ke negara asal, bilangan mereka tidak juga berkurangan, malah bertambah tahun demi tahun.

6. Saya mencadangkan agar satu badan bebas atau jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji dan menyelesai masalah buruh asing dengan lebih berkesan.

# William Leong adalah Ahli Parlimen Selayang