Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Biar dia pergi – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 SEPT: Tiada keperluan bagi KEADILAN mengadakan perbincangan berhubung keputusan bekas ahlinya, Tan Sri Muhammad Taib menyertai Umno.

Sebaliknya, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu akan terus fokus merancakkan agenda Reformasi ke arah menawan Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Individu datang dan pergi, apa yang penting perjuangan mesti ditegakkan, kita tidak perlu memberi komen atau membincangkan mereka yang pergi.

“Mereka yang masih ada mesti mempunyai kepercayaan dan komited dalam perjuangan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), lapor The Star.

Semalam, Muhammad Taib mengumumkan menyertai semula Umno selepas pernah menyertai PAS dan KEADILAN.

Mat TaibPerkara itu dimaklumkan dalam sidang media khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar menerusi catatan di Twitter menyifatkan ia sebagai bahan lucu.

“Ingatkan Mat Trump nak lompat masuk UMNO. Buang masa je tengok PC.

“Kah Kah Kah,” tulisnya.

Muhammad Taib pernah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor ketujuh pada Ogos, 1986 hingga 1997.

Pada 2013, beliau menyertai PAS, kemudiannya meninggalkan parti dengan menyertai KEADILAN, dua tahun selepas itu.