Categories
SELANGOR

Exco Kanan: PAS komited bersama Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kebarangkalian Umno untuk menarik wakil rakyat Kerajaan Negeri, termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS adalah mustahil, tegas Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Exco Kanan Kerajaan Negeri itu berkata, PAS sentiasa komited untuk bersama menunaikan amanah memajukan Selangor yang diberikan rakyat sejak 2008.

“Saya tidak nampak itu berlaku kerana Kerajaan Negeri sekarang berfungsi dengan baik.

“Pelbagai program sudah dilaksana demi kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan sumber memberitahu kemasukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno sepatutnya diiringi berita kemasukan kesemua ADN PAS, lapan ADN KEADILAN serta wakil rakyat bebas ke dalam Umno, seterusnya menumbangkan Kerajaan Negeri.

Pemerhati politik juga melihat langkah itu membayangkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno untuk mengguna pakai jalan sama seperti di Perak satu ketika dahulu untuk mengalahkan seteru politiknya di Selangor.

Iskandar berkata, pengumuman dibuat Presiden Umno itu juga merupakan tamparan kepada Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Pengumuman itu dibuat secara besar-besaran, seolah-olah dia masuk balik Umno untuk ganti peranan dimainkan Noh selama ini untuk rampas Selangor.

“Mungkin kerana Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri kecewa dengan prestasi Noh,” katanya.