Categories
NASIONAL

Bomba tolak litar pintas punca kebakaran

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, bukan berpunca daripada litar pintas.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik, pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu dalam keadaan baik.

“Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak sangat cepat juga besar.

“Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

“Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama terbabit yang menyebabkan mereka terperangkap ditambah ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak,” katanya lapor BERNAMA.

WhatsApp Image 2017-09-14 at 10.01.38 AMKhirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran terbabit berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

“Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar.

“Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api sudah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap,” katanya.

Terdahulu, polis mengesyaki litar pintas menjadi punca kebakaran di pusat tahfiz terbabit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun berkata, pasukan forensik akan terus menyiasat dalam setiap aspek bagi mengenal pasti punca sebenar.