Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor International Business Summit terima sambutan hangat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 SEPT: Lebih 5,000 pengunjung hadir ke Selangor Smart City and Future Commerce Convention dan kira-kira 3,000 peserta menyertai persidangan, selama dua hari itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia merupakan salah satu daripada program pendidikan paling komprehensif dengan menampilkan lebih 60 ‘speaker’.

Katanya, Selangor-ASEAN Business Conference pula menampilkan lebih 20 ‘speaker’ dan ahli panel ternama.

“Kesemua mereka berkongsi kisah kejayaan serta pemahaman dan ilmu strategik berkenaan rantau ASEAN.

“Turut dikongsikan tips terbaik bagi peserta dan usahawan mengasah strategi mereka seterusnya merebut peluang di rantau ini,” katanya.

CP2A1367-1024x683Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Selangor International Expo 2017 (SIE2017) di Setia City Convention Centre, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Pada 7 September lalu, Selangor International Business Summit (SIBS) membuka tirai dengan Selangor Smart City and Future Commerce Convention yang berlangsung selama dua hari.

Ia kemudiannya diteruskan dengan Selangor-ASEAN Business Conference bagi mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai gerbang utama destinasi pelaburan Asia Tenggara.

Terdahulu, Selangor Information Technology and E-Commerce Council dalam kenyataan mengumumkan 45 ‘business-matching session’ di antara peniaga tempatan dan pempamer asing berjaya direkodkan.