Categories
NASIONAL

Etiqa Takaful lantik CEO baru

SHAH ALAM, 1 SEPT: Etiqa Takaful Bhd melantik Zafri Ab Halim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru, berkuat kuasa hari ini.

Etiqa dalam kenyataan berkata, Zafri akan melapor diri terus kepada CEO Maybank Ageas Holding Bhd, Kamaludin Ahmad dan bertanggungjawab memacu perniagaan takaful dan memantau prestasi Etiqa Takaful di Malaysia.

“Zafri layak mengetuai Etiqa Takaful dalam tempoh yang sangat penting ini. Sebahagian besar kerjaya beliau adalah dalam industri insurans.

“Beliau bekerja dengan Malaysia National Insurance Bhd, yang kini dikenali sebagai Etiqa Insurance Bhd, selama 14 tahun ketika memulakan kerjayanya, dan oleh itu beliau mengetahui selok-belok syarikat itu,” kata Kamaludin, lapor BERNAMA.

Zafri yang bertugas sebagai CEO Great Eastern Takaful Bhd, kemudiannya menyertai Etiqa.

Sebelum itu beliau mengetuai bahagian perkhidmatan kewangan dan korporat yang meliputi perakaunan kewangan, pelaburan pengurusan sistem maklumat, dan pentadbiran am Bank Aljazira, Arab Saudi.