Categories
SELANGOR

Jangan korban rakyat kerana nafsu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 SEPT: Nasib golongan pekerja dan rakyat tidak boleh dikorbankan demi memenuhi tuntutan nafsu masing-masing, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Katanya, tindakan mengorbankan pihak lain atas tuntutan nafsu akan mengakibatkan balasan keras di akhirat.

“Tetapi jangan pula kita mengorbankan orang lain. Jangan pula majikan mengorbankan pekerja, pemimpin mengorbankan pengikut atau pemimpin mengorbankan rakyat semata-mata kerana hawa nafsu masing-masing dan ingatlah balasan Allah SWT itu amat keras,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidil Adha di sini, hari ini.

Katanya, masyarakat di Malaysia pada masa ini masih bernasib baik kerana belum lagi perlu mengorbankan nyawa tetapi hanya berkorban tenaga, wang ringgit, harta benda, keselesaan, masa dan ego.

Iskandar turut mengingatkan semua golongan masyarakat tidak jemu meneruskan perjuangan masing-masing yang ada kalanya memerlukan pengorbanan.

“Ibu bapa berkorban demi keluarga, anak berkorban demi ibu bapa, guru berkorban demi murid, majikan berkorban demi pekerja, pemimpin berkorban demi pengikut dan pemimpin berkorban demi rakyat.

“Semoga pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS akan menjadi satu motivasi meneruskan usaha kita,” katanya.