Categories
NASIONAL

Henti sebar video kebakaran pusat tahfiz

SHAH ALAM, 14 SEPT: Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) meminta orang ramai tidak menyebarkan video insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang berlaku, awal pagi tadi.

Presidennya, Dr Zubaidah Jamil Osman berkata, hal itu kerana pihak psikologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menjalankan ‘Paychological First Aid’ (PFA) untuk mangsa yang terselamat dan keluarga terdekat.

“Saya dengan rendah hati memohon ahli ‘group’MSCP tidak menyebarkan video kejadian kebakaran kepada kumpulan lain kerana ia boleh memberi trauma dan gangguan kepada pihak yang berdepan waktu sukar kini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar dilaporkan maut selepas tingkat tiga bangunan tahfiz terbabit terbakar.

Bomba berkata, 20 lagi mangsa dilaporkan cedera, manakala tiga kritikal dan sedang menerima rawatan di HKL.

Polis turut menutup laluan di Jalan Keramat Hujung, yang menghubungkan Jalan Pasar Keramat ke Bukit Pawang, susulan kejadian berkenaan.