Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu masjid, pusat tahfiz ‘tenat’ akibat pandemik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang sebanyak RM537,500 bagi menampung keperluan masjid, surau dan pusat tahfiz negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebanyak RM337,500 diagihkan kepada 316 masjid dan 322 surau terpilih dengan masing-masing menerima RM500.

Manakala baki RM200,000 disumbangkan kepada 250 pusat tahfiz melalui Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) bagi kos utiliti dan sewa bangunan.

“Sumbangan berbentuk wang tunai ini diberikan menerusi peruntukan baitulmal Mais dengan pembayaran dikreditkan secara berperingkat kepada penerima,” katanya selepas menyerahkan cek cura di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban institusi berkenaan terutama bagi menampung bil utiliti dan keperluan kecil sepanjang tempoh perintah kawalan.

Sementara itu, pengerusi Pitas berkata operasi pusat tahfiz terjejas berikutan ramai ibu bapa tidak mampu membayar yuran dalam tempoh tujuh bulan yang kini mencecah RM8 juta.

“10 daripada pusat tahfiz terpaksa ditutup sementara jadi kita akan guna peruntukan Mais untuk bantu….yuran telah diberi diskaun namun ibu bapa juga terkesan dan kerana itu pusat tahfiz tidak mampu membayar utiliti, gaji guru.

“Sumbangan Mais ini adalah sinar untuk kita tambah kepada yang amat-amat memerlukan,” kata Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz yang memaklumkan Lembaga Zakat Selangor turut membantu pusat tahfiz yang terkesan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Institusi tahfiz bukan pusat pulih akhlak anak-anak

MELAKA, 16 NOV: Ibu bapa perlu melihat dan menghormati institusi tahfiz sebagai pusat pembelajaran al-Quran dan ilmu agama, bukannya sebagai pusat pemulihan akhlak bagi remaja bermasalah dan gagal dikawal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan tangungjawab menjaga anak yang bermasalah kepada pihak lain dengan menghantar mereka yang sukar dibentuk itu ke sekolah tahfiz, bagi memperbetulkan akhlak mereka.

“Institusi tahfiz adalah institusi pembelajaran ilmu Al-Quran, justeru ibu bapa sepatutnya menghantar anak-anak mereka bagi tujuan mendalami ilmu tersebut, dan bukan untuk menyelesaikan masalah anak yang tidak dapat dikawal.

“…dan apabila hantar anak ke institusi tahfiz atau sekolah berasrama penuh, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, buatlah pemantauan dan jangan serah tanggungjawab bulat-bulat kepada ustaz atau guru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut berkongsi pendapat, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata, ibu bapa perlu membetulkan niat dan tujuan, kenapa mereka menghantar anak ke institusi tahfiz.

“Kalau niatnya untuk melepaskan tanggungjawab setelah gagal membentuk anak atau untuk tujuan bermegah-megah ‘anak saya masuk tahfiz’.…saya nasihatkan agar ibu bapa yang berfikiran demikian membatalkan sahaja hajat mereka itu.

“Ini kerana institusi tahfiz adalah pusat ilmu bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang mengambil jalan mudah melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada orang lain, dengan menghantar anak mereka ke institusi tahfiz boleh dikenakan tindakan udang-undang di bawah bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011, kerana mengaibaikan anak-anak.

Kamal Affandi menasihati ibu bapa memilih institusi tahfiz yang berdaftar dengan pihak berkuasa, dengan membuat semakan terlebih dahulu, terhadap taraf sekolah terbabit.

“Jangan hanya dengar cakap-cakap orang bahawa sekolah itu bagus, sekolah ini kurang bagus. Sebaliknya, saya nasihatkan ibu bapa menilai sekolah tersebut terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, Kamal Afandi berkata, pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu mengambil tindakan proaktif, termasuk membuat saringan polis sebelum mengambil tenaga pengajar, supaya tidak terambil mereka yang bermasalah ataupun mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, selain mengadakan saringan, pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu melakukan pemeriksaan berkala atau pemeriksaaan mengejut kepada tenaga pengajar, selain daripada mengadakan perbualan dengan pelajar bagi mengesan masalah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fokus silibus pusat tahfiz selepas aspek fizikal selesai

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada slibus pendidikan yang wajar di pusat tahfiz, selepas semua proses pendaftaran selesai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar mempunyai keseimbangan pendidikan, di samping didedah dengan aspek kehidupan lain.

“Inisiatif awal adalah (program) Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia dengan peruntukan RM1.9 juta melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor dan pelajar yang menamatkan pengajian tahfiz boleh ambil SPM.

“Tahun lalu ada kira-kira 200 pelajar dan tahun ini kita sasarkan lebih 200 pelajar. Kita juga ambil guru pakar untuk melatih mereka. Sekurang-kurangnya mereka ada sijil SPM dan boleh melanjutkan pengajian di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini aspek fizikal lokasi pengajian menjadi keutamaan dengan hampir 90 peratus pusat tahfiz swasta di Selangor sudah mendaftar sejak 2017.

“Pendaftaran itu bukan sahaja mewajibkan melengkapkan asas bangunan tetapi perkara lain seperti pelan, kebenaran pembinaan dan kawalan keselamatan.

“Kita berhubung baik dengan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor bagi memantau perkara itu dan setakat ini hanya ada dua laporan pusat tahifz yang enggan bekerjasama dengan satu daripadanya diarah tutup untuk memastikan premis diduduki itu selamat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mujahid: Ibu bapa perlu prihatin pilih pusat tahfiz

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta ibu bapa untuk lebih prihatin dalam memilih pusat tahfiz supaya anak mereka tidak menjadi mangsa kejadian tidak diingini.

Beliau berkata ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memastikan pusat tahfiz yang dipilih adalah berdaftar dan ia perkara paling utama yang perlu difikirkan.

“Pendaftaran sangat penting, ibu bapa yang hantar anak-anak perlu prihatin. Tindakan drastik yang utama perlu dilakukan ialah kesedaran ibu bapa. Bila berdaftar (pusat tahfiz), kita ada kawalan terhadap pusat itu, boleh tahu apa yang diajar, tahu siapa tenaga pengajar dan boleh tahu bagaimana dia kendalikan tahfiz itu.

“Itu pilihan ibu bapa. Tapi pilihan yang macam mana, adakah sekadar tempat buangan kemudian tinggalkan… akhirnya tahfiz tidak menjadi institusi yang dihormati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata tidak semua tahfiz mempunyai rekod yang buruk dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal kebajikan, keselamatan dan ko-kurikulum yang disediakan tahfiz.

“Kita ada model-model tahfiz yang bagus,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh, Pahang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia bantu asrama tahfiz terbakar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri sedia membantu asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini yang terbakar, semalam.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia selaras hasrat Kerajaan Negeri menjaga kebajikan semua, terutama membabitkan insitusi pengajian dan pendidikan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga amat mengambil berat perkara membabitkan anak muda yang merupakan penentu masa hadapan agama, bangsa dan negara.

“Kita akan teliti bentuk bantuan sesuai sebelum memutuskan dan menyerahkan bantuan kepada mereka.

“Bukan sekadar ‘one off’, Kerajaan Negeri juga bakal mengumumkan beberapa bantuan untuk pusat tahfiz di Selangor menerusi Belanjawan 2018 nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Kira-kira jam 8.15 malam tadi, api dilapor mula marak di asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran dan berjaya dipadam sepenuhnya, kira-kira jam 9.30 malam oleh pasukan bomba.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa inisiatif bakal diumum dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018, khusus untuk pusat tahfiz di Selangor.

Sebanyak 226 pusat tahfiz milik persendirian berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan lebih 16,000 pelajar.

Categories
NASIONAL

Bahan api petrol punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Al Ittifaqiyah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Al Ittifaqiyah,Kampung Datuk Keramat disahkan berpunca dari api dinyalakan bahan api petrol, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati petrol berkenaan dicurahkan di rak tuala dan kasut serta dinding di hadapan pintu masuk asrama di aras tiga sebelum merebak ke bahagian siling.

Katanya, ia kemudiannya membakar pintu masuk aras tiga menyebabkan api marak dengan cepat akibat gas (LPG) dilepaskan daripada dua silinder diletakkan di situ.

“Disebabkan bahan mudah terbakar yang banyak berada di dalam bilik asrama, ia menjadi punca api merebak dengan pantas.

Kesan“Keadaan itu seterusnya menyebabkan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media, lapor Astro Awani.

Pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga, kira-kira pada jam 5.15 pagi.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

Pada 16 September lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tahfiz terbakar: DYMM Sultan Selangor rakam takziah

SHAH ALAM, 14 SEPT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan ucapan takziah atas insiden kebakaran yang mengorbankan 23 pelajar Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, di ibu negara, awal pagi tadi.

Baginda menerusi perutusan dikeluarkan Istana Mestika Shah Alam turut berdukacita atas kejadian terbabit yang disifatkan sebagai menyayat hati.

“Beta berasa amat sedih dan dukacita dengan makluman berita bahawa berlakunya kehilangan nyawa membabitkan pelajar Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah dalam satu tragedi kebakaran yang amat menyayat hati.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah dan semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” titah baginda.

Terdahulu, kebakaran di pusat tahfiz terbabit turut mengorbankan dua tenaga pengajarnya, sementara
empat dilaporkan cedera parah dan tiga lagi mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak pagi tadi.

Categories
NASIONAL

Belum ada keputusan DNA mangsa kebakaran

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Keputusan Asid deoksiribonukleik (DNA) pelajar tahfiz dan tenaga pengajar yang maut selepas terbabit dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat, di sini, hanya dapat dikenal pasti dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan ramai mangsa.

“Bagi mengenal pasti identiti mangsa, DNA ibu bapa diperlukan dan pihak hospital baru menerimanya pagi tadi, jadi mereka akan menggunakan sepenuh masa untuk mengenal pasti identiti mayat dengan kerjasama Jabatan Kimia dan Jabatan Bencana.

“Setakat ini, semua identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya dalam sidang media di lobi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, setakat ini seramai tujuh mangsa iaitu enam pelajar termasuk seorang warganegara Indonesia dan seorang orang awam masih dirawat di HKL.

“Kesemua mangsa sedang dirawat di Jabatan Kecemasan HKL membabitkan empat mangsa yang mengalami kecederaan serius, manakala tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Wad Pemerhati.

“Dua mangsa yang mengalami kecederaan serius sudah dipindahkan ke wad resusitasi di Jabatan Kecemasan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia bantu urus jenazah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan jenazah mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Hujung, di sini, awal pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangan ringkas bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita bersedia menghulurkan bantuan dari segi kenderaan van jenazah bagi memudahkan 24 mangsa dibawa ke kampung masing-masing.

“Selain itu, kita juga bersedia menghulurkan bantuan lain termasuk memberi kaunseling kepada keluarga mangsa kerana saya dimaklumkan ini adalah antara insiden besar yang membabitkan nyawa pelajar dan guru,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Jabagan Agama Islama Selangor (JAIS) dan JAWI juga akan mengadakan kerjasama supaya semua urusan jenazah dapat berjalan lancar.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas musibah yang menimpa mereka.

“Kita turut merasa sedih dan berduka cita atas musibah ini dan mendoakan semoga roh mangsa yang terkorban akan mendapat rahmat dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

“Saya juga mendoakan semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam melalui ujian juga ketentuan daripada Allah,” katanya.

IMG_8548 IMG_8442

Categories
NASIONAL

Bomba sahkan 24 maut dalam kebakaran di pusat tahfiz

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Hujung, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid berkata,
dianggarkan 80 ke 90 peratus api sedang marak di tingkat tiga bangunan asrama terbabit sejurus pasukannya tiba di tempat kejadian.

“Lima pelajar berjaya diselamatkan sebelum operasi menyelamat diteruskan ke tingkat satu dan dua.

“Mangsa yang dijumpai berkumpul di tiga sudut berlainan penjuru dan kami juga menjumpai 13 mayat yang bertindih hangus terbakar,” katanya ketika sidang media.

Soiman berkata, semua mangsa yang dijumpai rentung dan pihaknya menyesyaki punca kebakaran ekoran ubat nyamuk atau litar pintas.

IMG_8515“Walaubagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kita akan mencari punca sebenar dalam tempoh dua ke tiga hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Soiman turut menjelaskan mangsa terperangkap ketika kejadian ekoran bangunan terbabit dikelilingi gerigi besi yang tidak boleh dibuka dari dalam.

Operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa membabitkan 56 anggota bomba dan enam agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan semua mangsa yang terkorban dan cedera kini berada di HKL untuk bedah siasat dan rawatan susulan.

Categories
NASIONAL

Siasat aspek keselamatan pusat tahfiz

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Semua pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah menjalankan pemeriksaan ke atas semua pusat tahfiz di ibu negara dan Putrajaya, hari ini.

Arahan terbaru itu dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor susulan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, awal pagi tadi.

“Kita puji langkah pengurusan pusat tahfiz yang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, namun aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.

“Berdasarkan tinjauan bersama DBKL, kita dapati premis ini hanya mempunyai satu laluan dan ia berbahaya dari segi keselamatan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian.

Dianggkarkan 24 penghuni (22 pelajar dan dua dewasa) pusat tahfiz terbabit terkorban, tiga kritikal dan dua separa kritikal dalam insiden kebakaran, kira-kira jam 5.10 pagi tadi.

Dua mangsa yang terkorban adalah mereka yang bertugas sebagai warden di tahfiz setinggi tiga tingkat itu.

Categories
NASIONAL

Henti sebar video kebakaran pusat tahfiz

SHAH ALAM, 14 SEPT: Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) meminta orang ramai tidak menyebarkan video insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang berlaku, awal pagi tadi.

Presidennya, Dr Zubaidah Jamil Osman berkata, hal itu kerana pihak psikologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menjalankan ‘Paychological First Aid’ (PFA) untuk mangsa yang terselamat dan keluarga terdekat.

“Saya dengan rendah hati memohon ahli ‘group’MSCP tidak menyebarkan video kejadian kebakaran kepada kumpulan lain kerana ia boleh memberi trauma dan gangguan kepada pihak yang berdepan waktu sukar kini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar dilaporkan maut selepas tingkat tiga bangunan tahfiz terbabit terbakar.

Bomba berkata, 20 lagi mangsa dilaporkan cedera, manakala tiga kritikal dan sedang menerima rawatan di HKL.

Polis turut menutup laluan di Jalan Keramat Hujung, yang menghubungkan Jalan Pasar Keramat ke Bukit Pawang, susulan kejadian berkenaan.