Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu sampah haram di perumahan terbengkalai di Klang

Isu sampah haram di perumahan terbengkalai di Jalan Dato Abdul Hamid 29A, Taman Sentosa Klang

KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor melalui pegangan saham di dalam Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah diberi tanggungjawab melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor secara berperingkat.

Mulai 1 Julai 2016, KDEBWM telah diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai Project Management Company (PMC) bagi menguruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis (Pilot Project).

Pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd telah mula melakukan kerja-kerja pembersihan awam secara berperingkat di MPK mulai 1 Mac 2017.

Manakala bagi kawasan sekitar Jalan Dato Abdul Hamid 29A yang dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 tersebut telah mula diambilalih kerja-kerja pembersihan awam mulai 1 Julai 2017.

Kerja KDEBWM 1Kerja-kerja pembersihan awam yang dilakukan oleh pihak KDEBWM meliputi kawasan perumahan yang telah diserahmilik oleh pemaju kepada pihak MPK dan tidak meliputi kawasan perumahan yang belum diserahmilik kepada MPK atau kawasan perumahan terbengkalai.

Hasil tinjauan pihak KDEBWM, mendapati sampah haram yang dilaporkan adalah sampah yang telah dibuang di dalam kawasan perumahan terbengkalai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada 11 September 2017, Pihak KDEBWM telah membantu melakukan kerja-kerja pembersihan bersama pihak MPK bagi membersihkan kawasan tersebut sebagai usaha keprihatinan KDEBWM terhadap aduan penduduk-penduduk di kawasan sekitar.

Ketika ini, kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan oleh pihak sub-kontraktor KDEBWM bersama pihak MPK.

Hasil lawatan ADUN N49 Seri Andalas, YB Tuan Dr Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, En Ramli bin Mohd Tahir, Pengurus Besar KDEBWM dan wakil pihak MPK di kawasan perumahan terbengkalai tersebut, satu langkah awal akan dilakukan bagi mencegah pembuangan sampah haram di dalam kawasan perumahan terbengkalai akan tersebut iaitu dengan menutup laluan masuk kenderaan di Jalan Dato Abdul Hamid 29A tersebut.

Pihak KDEBWM akan terus bekerjasama dengan pihak MPK secara berterusan bagi memastikan pembersihan kawasan perumahan yang didiami oleh penduduk-penduduk Taman Sentosa, Klang berada dalam keadaan baik dan sempurna