Categories
KENYATAAN MEDIA

Kapal dagang beralih ke Singapura, pelabuhan Malaysia berdepan masalah?

Saya ambil maklum kenyataan seorang pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping menyatakan industri pelabuhan di Malaysia bakal berdepan dengan masalah selepas terdapatnya tanda-tanda hubungan rapat antara China dan Singapura.

Menurutnya, terdapat perubahan dasar di Beijing seperti yang ditunjukkan berdasarkan keputusan rangkaian perkapalan Ocean Alliance yang beralih operasi dari Pelabuhan Klang ke Singapura.

Ocean Alliance, termasuk China Cosco Shipping, United Arab Shipping Company (UASC) dan kumpulan perkapalan Perancis CMA CGM diikat di Shanghai tahun lepas dan Cosco adalah syarikat perkapalan keempat terbesar di dunia.

1. Malaysia perlu bimbang bukan sahaja mengenai hubungan rapat Singapura-China tetapi juga tahap kecekapan di pelabuhan Malaysia berbanding Singapura. Malah, keadaan ini juga adalah berita buruk untuk pelabuhan kita dan mungkin juga bagi Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

ECRL yang bernilai RM55 bilion dilancarkan di Kuantan bulan lepas, dijangka memenuhi sebahagian besar keperluan syarikat perkapalan China. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memujinya sebagai ‘laluan perdagangan alternatif ke Singapura’ kerana laluan itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.

Dalam hal ini Malaysia perlu bertindak lebih pantas dan mempunyai peralatan dan infrastruktur yang paling canggih serta perkhidmatan sokongan yang cekap. Walaupun, Malaysia mempunyai 3 pelabuhan utama dengan tahap kecekapan berbeza dan perbezaan kadar pelaburan semula ke dalam pembinaan kapasiti. Ia boleh ditingkatkan dengan menjadikan pelabuhan ini lebih menarik dan langkah pertama perlukan penyatuan.

2. Selain itu, pelaburan di dalam sektor perkapalan juga perlu mempelbagaikan ekonomi negara. Trend masa kini dengan pembinaan kapal yang semakin besar dan berteknologi tinggi. Ini menuntut kapasiti pelabuhan yang berupaya untuk membolehkan kapal sedemikian untuk berlabuh.

Malaysia mesti menangani situasi ini dengan tawaran komersial yang lebih baik kepada syarikat perkapalan, sambil menambah pihak berkuasa yang berkaitan harus meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dengan mengurangkan pembaziran dan rasuah.

Malaysia memerlukan strategi perniagaan baik yang disokong oleh dasar kerajaan yang jelas.

3. Antara faktor penentu kapal untuk singgah berlabuh di pelabuhan adalah permintaan barangan atau komoditi, mutu perkhidmatan pengangkutan dagangan antarabangsa dan tahap daya saing pelabuhan.

Persaingan sengit dari negara jiran sekarang tidak boleh dipandang mudah dan kita perlu prihatin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya dalam bidang logistik yang menyokong pertumbuhan pelabuhan-pelabuhan besar di negara ini.

Pengangkutan bahan mentah, separa siap, penyimpanan stok tepat masa serta pengagihan yang efisyen adalah amat penting untuk mengurangkan kos logistik yang perlu diserapkan pada harga runcit barangan.

Pada 2005, The United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) menyenaraikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim ke-20 terbesar di dunia dengan menyumbang 1.2 peratus daripada jumlah nilai dagangan global.

4. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dilaporkan berkata, jumlah pengendalian kargo hanya mencatat sedikit penurunan tetapi pertumbuhan kukuh berlaku dalam negara, khasnya pengeluaran ekonomi.

Akibat ketidakcekapan pengendalian kargo, kini kebanyakan kapal dagang ke pelabuhan Singapura dan sebagainya yang akhirnya mengakibatkan satu kerugian besar buat negara.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN