Categories
SUKANKINI

#kapcaipackers jadi inspirasi, rancang maju sukan permotoran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kejayaan pasangan suami isteri, Mohd Alfifshahrin Zakaria dan Diana Latief menamatkan misi jelajah ke London dalam masa ditetapkan, membuktikan Malaysia mempunyai bakat dalam sukan permotoran.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu dan merangka pelan pembangunan sukan permotoran bagi kemajuannya selain melahirkan bakat baru.

“Kita memandang serius perkara ini dan sedang mengenal pasti satu tapak membangunkan litar lumba di negeri ini dengan perbincangan berkenaannya sedang dijalankan.

“Saya percaya dengan adanya litar lumba dan pelan pembangunan sukan permotoran di Selangor selain kerjasama Kerajaan Persekutuan, kita akan berjaya menggilap bakat baru pelumba dengan lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Mega Gathering Kapcai 2.0 bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, di Stadium Sham Alam, di sini, hari ini.

YB AMIRBeliau yang juga Pengerusi Pemadam Selangor berkata, pihaknya menyokong siri jelajah Alfifshahrin, 31, dan Diana, 30, dengan turut bersama penaja lain menaja pasangan itu bagi membantu mereka melengkapkan misi berkenaan.

Katanya, kejayaan pasangan suami isteri itu diharap akan memberi dorongan kepada anak muda lain untuk lebih gigih berusaha mencipta lebih banyak kejayaan.

“Penganjuran program ini juga kali kedua dan ia amat berjaya dengan penyertaan lebih 25,000 peserta kapcai.

“Secara tidak langsung, kita dapat berhimpun serta menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan Kerajaan Negeri dan Pemadam Selangor termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang turut bersama,” katanya.

Alfifshahrin dan Diana, memulakan siri jelajah ke kota London dari Batu Caves, Selangor, pada 8 April lalu menaiki Honda RS 125R dengan sasaran menamatkannya dalam tempoh 120 hari.

Mereka berjaya melengkapkannya dengan merentasi lebih 25 negara dan tiba di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di kota raya itu, pada 31 Ogos lalu.