Categories
NASIONAL

Sang Bedal curi tumpuan punca lebuh raya sesak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Lalu lintas di Batu 13, Puchong, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sesak apabila orang ramai memberhentikan kenderaan bagi melihat dengan lebih dekat buaya Sungai Klang.

Kehadiran buaya yang berjemur di atas beting tanah sungai tidak jauh daripada tol LDP menghala ke Shah Alam itu disedari orang ramai, pagi tadi.

Buaya terbabit dipercayai salah seekor dari tiga buaya yang menjadikan Sungai Klang sebagai habitat sejak beberapa bulan lalu.

Terdahulu, masyarakat di Klang dikejutkan apabila pertama kali buaya dilihat di sungai bersejarah itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kemunculan haiwan itu memberi petanda usaha pemuliharaan Sungai Klang mula menunjukkan hasil.

“Buaya ini juga akan dijadikan satu tarikan baru di Klang kerana belum ada lagi buaya masuk ke kawasan bandar.

“Jika buaya ini boleh membiak, kita akan promosikan lagi,” katanya.

Beberapa bulan selepas itu, Jabatan Perhilitan Selangor memaklumkan terdapat tiga ekor buaya dikesan mendiami Sungai Klang.