Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Khairy kena bayar RM210,000 kepada Anwar

SHAH ALAM, 29 SEPT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, memfitnah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kenyataannya “Anwar main dua-dua ikut belakang….” sembilan tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata, dakwaan yang dibuat Khairy serius dan memfitnah plaintif serta mengarahkan menteri belia dan sukan itu membayar ganti rugi am RM150,000 kepada Anwar.

MalaysiaKini melaporkan, Hakim Azizul bagaimanapun tidak memberikan pampasan bagi ganti rugi teruk kerana menolak wujudnya niat jahat.

Beliau juga tidak memberikan perintah injunksi yang melarang Khairy daripada mengulangi kata-kata itu memandangkan ia diucapkan dalam insiden sembilan tahun lalu dan banyak perkara berubah.

Anwar-Ibrahim-Khairy-JamaluddinHakim Azizul juga mengarahkan Khairy membayar kos RM60,000 kepada Anwar.

Anwar memfailkan saman RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan daripada Khairy ekoran ucapan beliau pada 19 Februari 2008 yang kemudiannya dilaporkan oleh MalaysiaKini, pada hari berikutnya.

Anwar mendakwa, ucapan Khairy memberikan gambaran bahawa beliau seorang yang homoseksual.

Khairy adalah Naib Ketua Pemuda Umno pada masa itu dan melancarkan jentera pilihan raya BN Lembah Pantai, menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Hari ini adalah tarikh perbicaraan pertama untuk kes saman fitnah itu yang berlarutan selama lapan tahun termasuk disebabkan gagal dalam proses mediasi.