Categories
NASIONAL

Konvoi penjara terlibat kemalangan, Anwar dilapor selamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Konvoi kereta dan van yang membawa pegawai penjara juga Datuk Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam satu kemalangan sewaktu beliau sedang dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh selepas mendapat rawatan selama empat hari.

Peguam Anwar, R Sivarasa dalam satu kenyataan petang ini memaklumkan kemalangan itu berlaku pada jam 12.30 tengah hari di simpangan trafik berdekatan Saujana Utama.

Difahamkan, pegawai penjara yang memandu kereta membawa Anwar telah menekan brek untuk mengelak kereta dari arah bertentangan dan kereta pengiring melanggar kereta di hadapan.

Manakala kereta yang membawa Anwar Ibrahim mengalami kerosakan di bahagian belakang kereta.

“Syukur bahawa Datuk Seri Anwar tidak mengalami sebarang kecederaan serius, tetapi agak terkejut dan diberikan ubat tahan sakit selepas dirawat doktor di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Katanya, Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Tan Sri Sinnathurai dijadual bertemu Anwar, pada jam 5 petang ini untuk menetapkan sama ada beliau memerlukan sebarang rawatan lanjut di hospital.