Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya abai desakan bantu rakyat, Anwar ubah fikiran sokong keluar wang KWSP

SHAH ALAM, 9 MAC: Ketua pembangkang mendesak kerajaan membenarkan pencarum mengeluar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah tiada azam untuk membantu rakyat, termasuk mangsa banjir.

“Saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat.

“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, beliau berkata rungutan rakyat yang terdesak mahu menggunakan wang tersebut makin kerap didengarnya sepanjang kempen ketika pilihan raya Johor kini.

“Justeru, setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi,” katanya lagi.

Anwar melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwanya ‘tidak mempedulikan’ desakan tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar lancar Aplikasi Adil, pemilihan KEADILAN dilaksana dalam talian

SHAH ALAM, 4 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Aplikasi Adil yang akan diguna pakai dalam proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2022 pada Mei nanti.

Menerusi Twitter beliau yang juga presiden parti memaklumkan KEADILAN adalah parti politik pertama yang menekankan aspek digital sebagai medium pemilihan pimpinan.

“Saya tegaskan bahawa pemilihan kali ini perlu bagi memantapkan organisasi parti untuk mendepani pilihan raya umum akan datang.

“Proses ini tidak boleh ditangguh kerana kuasa memilih terletak di tangan anggota parti,” katanya.

Anwar menasihatkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk memberi penerangan lebih jelas berhubung aplikasi itu kepada semua anggota serta perlu memastikan ia berfungsi dengan baik supaya pemilihan kali ini berjalan lancar, telus dan tanpa ragu.

Sebelum ini, KEADILAN memaklumkan pemilihan bagi pemegang jawatan 2022 hingga 2025 bermula 22 hingga 29 April ditangguhkan ke 13 hingga 18 Mei dan seterusnya menyusul kongres nasional yang dijangka pada 10 hingga 12 Jun.

Sementara itu, Pengerusi JPP KEADILAN Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan menyatakan fasa pertama Aplikasi Adil untuk kemas kini daftar pemilih dan persetujuan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sudah boleh dimuat turun dari Google Play Store bagi anggota parti menggunakan telefon pintar Android.

Pihaknya masih menanti kelulusan Apple (Malaysia) untuk proses sama dari Apple App Store bagi pengguna iPhone menggunakan operasi iOS.

“Semenjak aplikasi ini diluncur pada 28 Februari, kami menerima 332 pendaftaran dan kesemua anggota telah menerima notifikasi serta maklum balas sama ada berjaya atau tidak.

“Sebanyak 253 pendaftaran berstatus tidak berjaya kerana syarat verifikasi tidak ditepati. Mereka ini akan dihubungi dan dibantu mengemas kini maklumat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Kempen KEADILAN tumpu isu pengangguran, perumahan

SHAH ALAM, 4 MAC: Masalah pengangguran dan perumahan antara isu tumpuan kempen calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kedua-dua isu berkenaan antara perkara yang lama membelenggu Johor tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

“Saya tegaskan masalah di Johor, anak muda dengan masalah pengangguran. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia, lulus diploma, lulus universiti tetapi menganggur. Kerja di Singapura sekarang ini pun terbatas.

“Perumahan di selatan Johor juga parah, pembangunan itu terpilih di bahagian Barat, di Timur dan Tengah langsung terbiar dan tiada kesinambungan. Semua ini patut difikirkan,” kata ketua pembangkang itu.

Beliau membantu kempen calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang Haryati Abu Nasir yang berdepan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang dalam saingan empat penjuru.

Anwar juga mengulangi kepentingan dua isu tersebut dalam siri jelajah di Layang-Layang, Simpang Renggam bagi membantu kempen calon Dr Maszlee Malik.

Bekas menteri pendidikan itu berdepan calon parti BN, PN dan Pejuang dalam saingan empat penjuru.

Seramai 239 calon bertanding dalam PRN Johor. Lebih 2.59 juta pengundi berdaftar termasuk Undi 18 layak membuang undi pada 12 Mac.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan laksana gaji mimumum, tidak layan bantahan syarikat besar

KOTA TINGGI, 3 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera melaksanakan gaji minimum tanpa tunduk kepada keengganan syarikat besar.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan pentadbiran Putrajaya tidak harus melayan bantahan syarikat yang merekod keuntungan tahunan berbilion ringgit.

“Saya tanya perdana menteri mengenai gaji minimum, dia jawab syarikat-syarikat besar tidak mahu bagi sebab susah. Dia (syarikat) untung tiga, empat bilion setahun tetapi kata tak boleh.

“Kena tanya orang bawah, kena tanya pekerja kilang, jangan tanya tauke. Untung berbilion ringgit, apa untungnya bagi pekerja? Kerajaan ini jaga orang kaya sahaja,” katanya.

Ketua pembangkang itu berkata demikian dalam siri jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook beliau hari ini.

DUN berkenan menyaksikan calon KEADILAN Omar Mokhtar A Manap berdepan saingan empat penjuru dengan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pejuang.

Anwar juga menyifatkan kerajaan sedia ada tidak mempeduli rintihan rakyat bawahan sebaliknya lebih senang mendengar pandangan syarikat besar sahaja.

“Sebab itu, apabila kita cakap soal harga barang naik, kerajaan tak kesah (sedangkan) menteri di Malaysia paling banyak di dunia, jadi tidak boleh kata tidak ambil tahu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu berani ambil tindakan terhadap orang kenamaan seleweng dana negara

SEGAMAT, 2 MAC: Pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang menyeleweng dana negara.

Menegaskan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat secara menyeluruh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan beliau dalam isu itu bukan fitnah sebaliknya bersandarkan keterangan mahkamah Amerika Syarikat.

Ketua pembangkang itu menjelaskan pendedahan wanita lantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan dana 1MDB sebanyak RM41 juta untuk membeli rumah di London perlu disiasat.

“Saya tidak akan keluar kenyataan jika tiada bukti sahih, tiada laporan.

“Kalau SPRM tanya, polis hendak siasat, silakan. Tetapi saya bagi syarat, ada bukti ambil tindakan tidak kira dia Tun, Datuk Seri. Kita mesti berani ambil tindakan kerana wang rakyat diambil secara tidak sah.

“Kita marah sebab ambil wang negara, ini kenyataan di mahkamah. Dalam Jabatan Kehakiman Amerika, keluar bukti judi kasino di Los Angeles rugi berbelas-belas juta menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berucap dalam program jelajah di Felda Palong Timur 2 di sini petang tadi yang turut disertai calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap C Subramani.

Semalam, Anwar meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes berkenaan pada peringkat antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Potensi Janakerja terbatas, bilangan belia menganggur kekal tinggi

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan persekutuan harus merangka dasar lebih berkesan bagi menangani masalah pengangguran di negara ini khususnya membabitkan anak muda.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kadar pengangguran belia masih tinggi meskipun kerajaan ada memperkenal inisiatif Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja).

Beliau menjelaskan kadar pengangguran bagi lingkungan usia 15 hingga 25 tahun adalah 13.2 peratus bersamaan 312,000 orang manakala golongan berumur antara 15 hingga 30 tahun 8.7 peratus.

“(JanaKerja) disebut ada kejayaan tetapi yang tidak disebut kadar pengangguran belia.

“Hal ini perlu dijelaskan, JanaKerja itu ada kejayaan terbatas,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 19 Februari, Perdana menteri menyempurnakan pelancaran program JanaKerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur membabitkan peruntukan RM4.8 bilion bagi menurunkan kadar pengangguran.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dibuka menerusi program berkenaan pada tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syor buka fail ‘pendakwaan terpilih’, Anwar tiada halangan tapi usah sindir

SHAH ALAM, 2 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada halangan jika kerajaan persekutuan mahu membuka semula fail mana-mana kes jenayah yang dianggap pendakwaan terpilih sepanjang Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah.

Bahkan, ketua pembangkang itu mengesyor kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan peguam negara berbuat demikian jika percaya dengan andaian itu.

“Kalau beliau mengandaikan bawah kerajaan HARAPAN berlaku pendakwaan terpilih, tiada halangan sama sekali untuk peguam negara membuka fail tersebut.

“Jangan berikan sindiran seolah-olah ada (fail kes salah guna kuasa). Kalau ada silakan buka sekarang,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Ismail Sabri di Dewan Rakyat memberi jaminan pentadbirannya tidak melindungi mana-mana individu yang berdepan kes rasuah atau membuat pendakwaan terpilih kepada individu tertentu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Anwar yang mempersoal kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan indeks persepsi rasuah (CPI) dan membendung amalan tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Malaysia harus lantang tolak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan persekutuan digesa menyatakan pendirian tegas berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine dengan lantang menolak sebarang tindakan pencerobohan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia harus membuat keputusan tegas dalam isu tersebut, bukan mendiamkan diri sekali gus boleh mengundang risiko terhadap keselamatan negara.

“Memang ada sedikit kontroversi kerana orang mengatakan kita seolah-olah ikut selera Amerika Syarikat (AS). Keganasan AS atau campur tangan di Syria atau Libya kita tidak pernah sokong.

“Kita harus lantang menentang. Kita tidak boleh izinkan dengan alasan apa sekalipun penaklukan Rusia ke atas Ukraine,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa dukacita Malaysia dengan perkembangan di Ukraine dan berharap penyelesaian damai segera dicapai bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara.

Presiden Russia Vladimir Putin mengumumkan tindakan ketenteraan ke atas Ukraine dan menceroboh negara termasuk melakukan beberapa siri pengeboman.

Sementara itu, Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson mengingatkan kerajaan supaya konsisten dalam menyuarakan isu keganasan Israel ke atas Palestin yang terus berlarutan selain nasib penduduk Rohingya di Myanmar.

“Selama ini, Malaysia konsisten dari segi ini dan berharap menteri luar negeri terus menyuarakan dengan lebih lantang hal sedemikian,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pastikan SOP kempen PRN adil kepada pembangkang

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan persekutuan diingatkan supaya berlaku adil ketika melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap parti pembangkang sepanjang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak sesekali menjadi alat kepada pemerintah hingga menjejaskan perjalanan pilihan raya.

“Buat PRN tidak boleh kempen, tempat (kempen) dalam dewan tapi banyak syarat. Motif dia adalah untuk memenangkan satu pihak.

“Keterbatasan ini tidak adil. Perdana Menteri harus lihat (SOP) supaya beri keadilan kerana mereka (kerajaan) yang putuskan untuk adakan PRN. Jadi sediakan SOP lebih baik,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Malam tadi, Pakatan Harapan yang mengadakan ceramah umum pertama kali di Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar dikenakan kompaun RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan calon selesai pada 26 Februari. Pembuangan undi ditetapkan pada 12 Mac. Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar mahu penjelasan penuh dakwaan salah guna kuasa Bank Negara

SHAH ALAM, 1 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua pembangkang dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes itu pada peringkat antarabangsa.

“Kita mahu ada penjelasan menyeluruh sebab belum ada pengesahan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Proses siasatan sudah 10 tahun berlalu tapi belum ada laporan dan keterangan selain pendakwaan dalam aspek tertentu melibatkan bekas perdana menteri,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan Anwar membahas keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam Kamar Khas.

Pada 28 Februari, Anwar mengemukakan usul bagi membincangkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, Leissner dalam keterangannya memberitahu BNM membenarkan pemindahan keluar wang AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun, BNM pada Khamis menjelaskan semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan guna SOP untuk tekan pembangkang dalam PRN Johor

SHAH ALAM, 6 FEB: Tatacara operasi piawai (SOP) ketat wajar dalam pilihan raya negeri  (PRN) Johor tetapi pelaksanaannya harus adil kepada semua pihak termasuk pembangkang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui bimbang lonjakan kes Covid-19 kebelakangan ini, ketua pembangkang mengingatkan kerajaan persekutuan supaya tidak menggunakan SOP untuk menekan pembangkang.

“Mereka yang hendak pilihan raya kemudian ketatkan SOP. Dia (kerajaan) boleh kempen media, kita pergi minum kopi. Ini politik apa macam ini?

“Jangan guna ini (SOP) untuk beri menekan kita. Bagi ruang dengan buat syarat-syarat. Jangan buat macam (PRN) Melaka,” katanya selepas Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor di sini petang ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan mencadangkan kempen pilihan raya harus dibenar dengan syarat tertentu antaranya mengehad bilangan orang ramai di sesebuah dewan atau padang terbuka.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 berikutan sebanyak 10,089 kes direkod berbanding 9,117 semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga ada memaklumkan gelombang Omicron boleh melonjakkan bilangan kes kepada 15,000 sehari tidak lama lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar lancar Khidmat Untuk Malaysia, sinambungan Sukarelawan Selangor

SHAH ALAM, 6 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sukarelawan Khidmat Untuk Malaysia hari ini bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Ketua pembangkang berkata inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.

“Ketika banjir pada Disember tahun lalu saya lihat ramai anak muda tampil (membantu). Saya terkesan kerana setiap tempat ada sahaja ratusan anak muda bertungkus lumus dengan sukarela, prihatin, peka terhadap mangsa terutama di Selangor.

“Jadi,saya usulkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Mohd Khairuddin Othman (pembangunan generasi muda) untuk meneruskan usaha anak muda ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (SERVE) 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dengan prestasi (SERVE) yang cemerlang ini kita lebarkan ke seluruh negara dengan semangat sukarelawan dan manusia,” kata presiden Parti Keadilan Rakyat ketika melancarkan pasukan berkenaan dalam  Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor.

Majlis di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah itu bertujuan meraikan lebih 700 ahli SERVE yang terlibat kerja pascabanjir dan turut disertai Mohd Khairuddin serta Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil.

Kumpulan ska popular Gerhana Skacinta dan gitaris utama Wings, Joe tampil menghiburkan tetamu.