Categories
NASIONAL

Lebih 28,000 tontonan Nik Nazmi Show episod pertama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 SEPT: Episod pertama Nik Nazmi Show bersama selebriti, Yasin Sulaiman sehingga kini menerima lebih 28,000 tontonan di Facebook.

Bersiaran secara langsung jam 8.30 malam tadi, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai hos dan bertanyakan soalan kepada Yasin, termasuk soalan diajukan penonton.

Antara lain, Yasin berkongsi perkembangan terkininya sebagai penyanyi, penerbit dan komposer serta pandangannya terhadap senario industri seni tanah air.

“Karya saya semestinya didedikasikan kepada semua tanpa sempadan budaya dengan mesej lebih luas,” katanya.

SHOW NIKDikenali sebagai artis bersuara lantang dalam menyatakan pandangannya termasuk dalam isu politik, Yasin mengakui ia bukan sesuatu yang mudah diterima orang awam.

“Ia bukan mudah, ada masa saya terima komen keras yang berpandangan berbeza daripada saya.

“Saya cuma berharap pandangan saya dilihat pada sudut lebih besar untuk manfaat bersama,” katanya.

Ditanya harapan terhadap generasi muda, pemenang Juara Lagu ke-16 menerusi lagu Mimpi Laila itu berkata generasi Y perlu mengamalkan sikap toleransi dan menjauhi sikap taksub.

“Kita harus sedar bahawa kita punyai deria yang terhad dan tak semua kita tahu dan tak semua yang kita buat itu betul.

“Jadi, kita perlu lebih toleransi bagi mengelakkan sikap ekstrem.

“Yang tak perlu kita ada sehingga kita mati adalah sikap taksub kerana ia sangat merosakkan,” katanya.

Nik Nazmi Show merupakan program bual bicara santai yang bersiaran secara langsung di Facebook rasmi Nik Nazmi.

Ia dijangka kembali bersiaran pada minggu mendatang dengan menampilkan tokoh istimewa lain.

=EZY=