Categories
GLOBAL NASIONAL

London batal lesen Uber

LONDON, 24 SEPT: Lebih 40,000 pemandu Uber berputih mata apabila kerajaan Britain bertindak membatalkan lesen aplikasi teksi itu, berkuat kuasa akhir bulan ini.

Menurut laporan Reuters, pihak Pengakutan untuk London (TfL) tidak akan memperbaharui lesen Uber yang tamat, pada 30 September ini kerana aplikasi teksi itu mencetuskan risiko keselamatan awam.

Operasi Uber di kota raya itu bagaimanapun diberi masa 21 hari untuk merayu dan boleh terus beroperasi sehingga proses rayuan selesai.

“Pendekatan dan tatalaku Uber mempamerkan kelemahan dari segi tanggungjawab korporat selain isu keselamatan awam dan aspek keselamatan secara amnya,” katanya.

Pengurus Besar Uber di London, Tom Elvidge berkata, pihaknya akan mencabar keputusan itu di mahkamah ekoran perkhidmatan terbabit merangkumi sepertiga kereta sewa persendirian di London.

“TfL dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan akur kepada desakan segelintir individu yang mahu menyekat pilihan pengguna.

Uber sebelum ini dikecam pemandu teksi hitam London yang menuduh aplikasi itu tidak mementingkan peraturan keselamatan dan mengancam periuk nasi mereka.

Firma Amerika Syarikat itu dikritik kesatuan sekerja dan ahli Parlimen selain berdepan kes mahkamah berhubung hak pekerja.

Uber dipaksa menghentikan operasinya di sebilangan negara termasuk Denmark dan Hungary.

Aplikasi teksi itu turut berdepan halangan undang-undang di sejumlah negeri di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain di dunia.