Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: BWF tangguh final Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini di Aarhus, Denmark susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya hari in, BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.

Badan sukan badminton dunia itu juga mengakui tindakan beberapa pasukan menarik diri daripada kejohanan susulan kebimbangan akan pandemik tersebut turut menyumbang kepada penangguhan kejohanan.

“Walaupun kembalinya aksi badminton dunia kekal sebagai keutamaan kami, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton lebih diutamakan,” kata badan itu.

Keputusan itu tidak memeranjatkan memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Australia, Taiwan selain juara Piala Thomas 13 kali Indonesia menarik diri lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun menurut BWF, Kejohanan Terbuka Denmark di Odense dari 13 hingga 18 Oktober ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi Covid-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Oktober ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Sejak diperkenalkan masing-masing pada 1949 dan 1957, kejohanan Piala Thomas dan Uber tidak pernah dibatalkan.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Singapura denda Grab & Uber S$13 juta kerana gabungan jejaskan persaingan

SINGAPURA, 24 SEPT: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah mengenakan penalti kewangan sebanyak S$6,419,647(S$ =RM2.99) ke atas Grab dan S$6,582,055 ke atas Uber bagi menghalang penggabungan yang menjejaskan persaingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CCCS berkata, dalam mengenakan denda tersebut, ia telah mengambil kira jumlah dagangan kedua-dua syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, faktor-faktor lain seperti sama ada Grab dan Uber memberi kerjasama.

Ini adalah sebahagian daripada Keputusan Pelanggaran CCCS terhadap Grab dan Uber berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara Uber kepada Grab untuk kepentingan 27.5 peratus dalam Grab sebagai pertukaran.

Urus niaga itu selesai pada 26 Mac 2018.

CCCS mendapati transaksi berkenaan telah membawa kepada pengurangan persaingan yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan platform e-haliling di Singapura.

Pada 27 Mac 2018, CCCS memulakan penyiasatan atas asas bahawa transaksi itu mungkin telah melanggar Akta Persaingan sebagai penggabungan anti-persaingan.

CCCS mencadangkan Arahan Langkah-Langkah Sementara pada 30 Mac 2018 dan memuktamadkannya pada 13 April 2018 untuk mengurangkan kesan transaksi tersebut kepada pemandu dan penumpang, sambil meneruskan siasatan.

Pada 5 Julai 2018, CCCS menyelesaikan siasatannya dan mengeluarkan Keputusan Pelanggaran Dicadangkan terhadap kedua-dua pihak dan mempelawa maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan penyelesaian untuk menangani kemudaratan terhadap persaingan berikutan transaksi berkenaan.

Dalam mencapai keputusan muktamadnya, CCCS berkata, ia telah mempertimbang dengan teliti representasi bertulis dan lisan daripada Grab dan Uber, maklum balas daripada pemain industri, pihak berkepentingan dan orang ramai, serta semua maklumat dan bukti yang ada.

Dalam penemuannya, antara lain, suruhanjaya itu mendapati Grab telah menaikkankan harga selepas penyingkiran pesaing terdekatnya.

CCCS berkata, ia telah memeriksa dokumen dalaman Grab serta Uber dan mendapati Uber tidak akan meninggalkan pasaran Singapura dengan hanya menamatkan perniagaannya jika transaksi itu tidak berlaku.

Sebaliknya, Uber akan meneruskan operasinya di Singapura, sambil meneroka pilihan komersial strategik lain, seperti kerjasama dengan pemain pasaran lain atau penjualan kepada pembeli alternatif, katanya.

Urus niaga itu telah menghapus pesaing terdekat Grab dalam perkhidmatan platform e-haling, iaitu Uber.

CCCS berkata, ia menerima banyak aduan daripada penumpang dan pemandu mengenai kenaikan tambang dan komisen oleh Grab selepas urus niaga seperti penurunan dalam jumlah dan kekerapan promosi penumpang dan insentif pemandu.

Sebagai contoh, Grab mengumumkan perubahan kepada Skim GrabRewards pada Julai 2018 yang secara amnya mengurangkan bilangan mata yang diperoleh penumpang bagi setiap dolar yang dibelanjakan untuk perjalanan Grab dan meningkatkan bilangan mata yang diperlukan untuk penebusan.

CCCS juga mendapati tambang telah meningkat antara 10 peratus dan 15 peratus selepas urus niaga tersebut, katanya.

Selain mengenakan denda kewangan, CCCS telah mengeluarkan arahan kepada kedua-duanya untuk mengurangkan kesan urus niaga kepada pemandu dan penumpang,dan untuk membuka pasaran secara adil untuk pemain baru.

Ini termasuk memastikan pemandu Grab bebas menggunakan mana-mana platform e-hailing dan tidak dikehendaki menggunakan Grab semata-mata; menghapuskan perjanjian eksklusif Grab dengan mana-mana kumpulan teksi di Singapura untuk meningkatkan pilihan untuk pemandu dan penumpang; dan mengekalkan algoritma harga pra-penggabungan Grab dan kadar komisen pemandu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

London batal lesen Uber

LONDON, 24 SEPT: Lebih 40,000 pemandu Uber berputih mata apabila kerajaan Britain bertindak membatalkan lesen aplikasi teksi itu, berkuat kuasa akhir bulan ini.

Menurut laporan Reuters, pihak Pengakutan untuk London (TfL) tidak akan memperbaharui lesen Uber yang tamat, pada 30 September ini kerana aplikasi teksi itu mencetuskan risiko keselamatan awam.

Operasi Uber di kota raya itu bagaimanapun diberi masa 21 hari untuk merayu dan boleh terus beroperasi sehingga proses rayuan selesai.

“Pendekatan dan tatalaku Uber mempamerkan kelemahan dari segi tanggungjawab korporat selain isu keselamatan awam dan aspek keselamatan secara amnya,” katanya.

Pengurus Besar Uber di London, Tom Elvidge berkata, pihaknya akan mencabar keputusan itu di mahkamah ekoran perkhidmatan terbabit merangkumi sepertiga kereta sewa persendirian di London.

“TfL dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan akur kepada desakan segelintir individu yang mahu menyekat pilihan pengguna.

Uber sebelum ini dikecam pemandu teksi hitam London yang menuduh aplikasi itu tidak mementingkan peraturan keselamatan dan mengancam periuk nasi mereka.

Firma Amerika Syarikat itu dikritik kesatuan sekerja dan ahli Parlimen selain berdepan kes mahkamah berhubung hak pekerja.

Uber dipaksa menghentikan operasinya di sebilangan negara termasuk Denmark dan Hungary.

Aplikasi teksi itu turut berdepan halangan undang-undang di sejumlah negeri di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain di dunia.

Categories
NASIONAL

Kaji dasar, elak monopoli

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI : Kajian pelaksanaan dasar sedia ada perlu dijalankan semula bagi menghalang sebarang taktik monopoli pengusaha Uber dan Grab yang menekan kebajikan pemandu teksi.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira ketetapan perundangan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Kementerian perlu mengkaji semula perundangan sedia ada yang membolehkan syarikat gergasi dikuasai investor luar negara dengan kedudukan kewangan kuat supaya tidak dibenarkan berlakunya aktiviti monopoli.

TIAN CHUA“Ia bagi memastikan syarikat pengusaha luar ini tidak mengaut keuntungan yang akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah kepada pemandu teksi dalam negara.

“Isunya kini, kita tidak mengetahui sama ada wujudnya klausa perundangan negara untuk pastikan syarikat ini tidak mengeluarkan subsidi untuk perolehan untung pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi perbahasan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Awam Darat Pindaan (2017) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukry di Dewan Rakyat, pagi ini.

Cadangan Naib Presiden KEADILAN itu turut disokong Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ahmad Nawawi.

Nawawi berkata, pihak kementerian sewajarnya meneliti sistem perundangan sedia ada bagi memastikan hak pengusaha teksi tidak dinafikan.

UBER GRAB“Saya rasa itu hal yang perlu diberi perhatian kerajaan, (jika gagal) keadaan ini akan merugikan pengusaha teksi yang lebih terkesan dengan pelaksanaan sedia ada,” katanya.

Untuk tempoh kini, perkhidmatan Uber dan Grab diperluas ke Lembah Klang dengan penambahbaikan di beberapa bandar seluruh negara.

UBER berpotensi cetus masalah

Sistem UBER yang berleluasa mutakhir ini berpotensi mencetuskan masalah untuk pengguna kerana ia tidak dikawal peraturan perkhidmatan ketat yang dikenakan keatas pemandu teksi.

Categories
SELANGOR

SPAD perlu kawal selia aplikasi UBER

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 JUN: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu membuat ketetapan dan kawal selia terhadap perkhidmatan tempahan teksi atas talian yang diselenggara aplikasi UBER.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata ia bagi memastikan pengguna tidak terkeliru dengan aplikasi berkenaan yang masih meluas digunakan di negara ini.

Yeo Bee Yin damansara utama 01“Isu ini tertakluk di bawah SPAD yang perlu pastikan aplikasi ini benar-benar sah atau tidak dengan menetapkan undang-undang dan mengawal selia.

“Ini bagi memastikan keselamatan pengguna sendiri terjamin. SPAD perlu bertindak kerana ia bukan di bawah bidang kuasa negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata aplikasi UBER akan menjejaskan pendapatan pemandu teksi secara keseluruhannya.

khalid samadKatanya, hal itu berikutan sistem UBER membenarkan pemilik kenderaan persendirian mengambil penumpang sama seperti perkhidmatan yang ditawarkan teksi.

“Perkhidmatan ini pernah diharamkan tetapi kembali bergerak aktif seperti mendapat kebenaran. Ia akan menjejaskan pendapatan pemandu teksi berlesen dan perlu diambil tindakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, kira-kira 100 pemandu teksi mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada semua ahli parlimen sebagai bantahan kepada aplikasi itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pendapatan terjejas, kami ditendang seperti bola

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JUN: Tindakan pihak berkuasa saling menolak aduan dan keluhan pemandu teksi berhubung aplikasi UBER sangat dikesali.

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata aduan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) disahut sepi.

teksi gambar file 01Katanya, tindakan sambil lewa itu memandang ringan kebajikan dan pendapatan pemandu teksi berdaftar yang membayar permit sertasewa kepada kerajaan.

“Kami pergi ke SPAD disuruh ke SKMM. Sampai di SKMM diarahkan pula merujuk SPAD kembali.

“Perkara ini berterusan menjadikan kami seperti bola ditendang ke sana sini. Akhirnya kami yang kalah dan mengalah,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, kira-kira 100 orang pemandu teksi mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada semua ahli parlimen sebagai bantahan kepada aplikasi Uber itu.

amran janMengulas penyerahan memorandum itu, Amran berkata, langkah itu adalah jalan terakhir pemandu teksi mendapatkan hak mereka.

“Kami percaya ahli parlimen akan memandang serius isu ini dengan membawa usul mengharamkan terus aplikasi seperti UBER, Myteksi dan yang lain.

“Jika usaha membawa ke Parlimen masih gagal, kami mungkin akan menghantar memorandum untuk perhatian Yang DiPertuan Agong,” katanya.

-NFN-