Categories
NASIONAL

Mangsa banjir di Lenggeng meningkat kepada 82 orang

SEREMBAN, 10 SEPT: Setakat jam 1 tengah hari ini, seramai 82 orang daripada 29 buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di empat kawasan di Lenggeng, semalam, dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.

Angka itu meningkat berbanding tengah malam tadi iaitu 76 mangsa daripada 26 buah keluarga.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Daerah Seremban Lt. (PA) Mohd Najib Abd Karim berkata, sebanyak empat kawasan terjejas iaitu Kampung Sungai Macang Hilir, Kampung Sungai Jai, Kampung Mendung dan Kampung Rawa.

“Penduduk yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Surau Tengah Kampung Sungai Macang Hilir,” katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Beliau berkata paras air juga mulai surut dan ada antara penduduk yang sudah kembali ke rumah masing-masing untuk kerja-kerja pembersihan.

Banjir kilat dipercayai berlaku berikutan hujan lebat dari jam 4 petang hingga 6 petang semalam di kawasan Kampung Sungai Bioh menyebabkan banjir kilat akibat hakisan tebing sungai dan kerja-kerja mengorek tanah serta penyelenggaraan yang tidak sempurna.

SUMBER: BERNAMA