Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB arah peguam ambil tindakan undang-undang terhadap Utusan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia (Utusan) berhubung isu minuman keras.

Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, Mohamed Azmin menuntut penarikan tanpa syarat, permintaan maaf secara terbuka dan ganti rugi dari media kawalan Umno itu.

Katanya, kenyataan yang diputar belit itu membuktikan Utusan terus menjadi lidah Umno untuk menyebar fitnah dan mengelirukan rakyat.

“Ianya jelas satu penipuan apabila mengatakan Mohamed Azmin meluluskan sebarang festival arak dan tidak mengendahkan nasihat pihak berkuasa sepertimana dipaparkan di muka hadapan Utusan hari ini.

“Kami mencabar Utusan mengemukakan bukti Dato’ Menteri Besar ada mengeluarkan kenyataan sebegitu,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin kini berada di India atas urusan rasmi sudahpun mengarahkan peguam memulakan tindakan segera perundangan.

Shao Loong berkata, Dato’ Menteri Besar bertanggungjawab untuk menegakkan dan mematuhi undang-undang, undang-undang kecil dan prosedur negeri.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Kerajaan Negeri bukan sahaja menghormati hak kaum dan agama lain tetapi kita juga harus melindungi hak mereka kerana itu adalah dasar negari.

“Kejujuran, integriti dan keadilan sentiasa mendasari pendekatan kami sebagai kerajaan mesra rakyat di Selangor,” katanya.

=EZY=