Categories
KENYATAAN MEDIA

Najib saran persaraan tapi mantan IGP diberi jawatan

OLEH ONN ABU BAKAR

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad yang baru tidak mengejutkan mana-mana pihak.

Tetapi bukankah Najib sendiri menyatakan bahawa Malaysia diangkat sebagai antara negara terbaik untuk bersara namun mengapa memberi jawatan pula kepada Khalid?

Khalid juga sebelum ini pernah mengatakan untuk berehat dan memberi tumpuan pengurusan dan tanggungjawab terhadap keluarga. Ternyata tugas dan jawatan diberi boleh dianggap sebagai ‘ganjaran’ menjaga kepentingan Najib?

Adakah individu yang enggan bersara yang dimaksudkan oleh Najib itu adalah Khalid sendiri?

Adakah negara ini mengamalkan tempoh terbaik bersara adalah ketika menjawat jawatan tinggi dan selepas bersara sudah ada jawatan yang menantinya.

Dengan keadaan negara sekarang ini, rakyat yang mulai merungut semenjak pentadbiran Najib yang menekan kehidupan rakyat dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kos sara hidup yang meninggi.

Saya pasti Najib akan bersara awal selepas pilihan raya umum (PRU14) akan datang. Sememangnya rakyat akan bersara daripada perkhidmatan tetapi tidak perlu bersara daripada melakukan perubahan dan kebaikan.

* Onn Abu Bakar adalah Ahli Majlis Pimpinan KEADDILAN Wilayah Persekutuan