Categories
SELANGOR

PANTAS bantu mangsa banjir di Perlis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) melancarkan Misi Sukarelawan sebagai solidariti membantu mangsa banjir di utara Semenanjung.

Pengerusinya, Hamsah Djabir berkata, anggota pantas yang berada di lokasi kejadian turut menyediakan makanan kepada mangsa banjir.

“Sembilan anggota PANTAS menyediakan 500 pek makanan untuk mangsa banjir di negeri ini selain akan membantu pihak bertanggungjawab memastikan segalanya berjalan lancar.

“PANTAS bersiap sedia menggerakkan anggota bagi sebarang kemungkinan,” katanya kepada SelangorKini.

Setakat ini, keadaan banjir di Perlis menunjukkan tanda pulih dengan bilangan mangsa dicatatkan di pusat pemindahan menurun kepada 452 keluarga, berbanding 507 keluarga, semalam.

IMG_8017Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kangar mencatatkan 387 keluarga diikuti Arau (63 keluarga) dan Padang Besar (dua keluarga).

Pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 129 keluarga diikuti SK Panggau (110 keluarga); SK Sena (48 keluarga) dan SK Seri Perlis (42 keluarga).

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata, sehingga jam 8.30 pagi tadi, sebanyak lapan pusat pemindahan ditutup, sejak semalam.

Sehingga kini, 1,570 mangsa sedang ditempatkan di 16 pusat pemindahan.