Categories
NASIONAL

Pendaki Malaysia terkandas pindah ke tempat selamat

PUTRAJAYA, 4 SEPT: Kementerian Luar mengesahkan 19 pendaki Malaysia yang terkandas ekoran banjir lumpur di Perkampungan Terskol, Rusia tiba di puncak Gunung Elbrus dan kemudian turun dengan selamat di kaki gunung, semalam.

Wisma Putra berkata, mereka tiba di puncak gunung setinggi 5,642 meter itu yang merupakan gunung tertinggi di Eropah, pada jam 8.30 pagi Ahad dan kemudian dipindahkan ke tempat selamat oleh pihak berkuasa tempatan.

“Pendaki akan dipindahkan ke lapangan terbang berhampiran di Moneralnye Vody sebelum diterbangkan keluar dari Moscow,” kata kenyataan Wisma Putra.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia turut melahirkan penghargaan kepada Rusia atas keprihatinan dan usaha mereka menyelamatkan rakyat Malaysia yang terbabit dengan bencana itu.

Enam anggota pendaki wanita Kembara Srikandi Prihatin (KSP) dan 13 pendaki Malaysia lain terkandas di kawasan pergunungan Elbrus di Republik Kabardino-Balkar di Kaukasus Rusia ekoran banjir lumpur, pada 1 September lalu.

Dilaporkan pendaki itu akan diterbangkan pulang dan dijangka tiba esok.

*Sumber: BERNAMA