Categories
NASIONAL

Rohingya: AMK cadang sidang Parlimen tergempar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencadangkan sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu keganasan di Myanmar, ketika ini.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semua rakyat Malaysia pasti terkesan dengan keganasan dan kesengsaraan yang berlaku ke atas wilayah Rakhine di Myanmar, terutama tindakan ganas yang dikenakan ke atas Rohingya.

Katanya, keganasan dan krisis kemanusiaan itu bukan sahaja berkemungkinan mengganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran tetapi rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

“Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu ini apabila dewan bersidang semula nanti.

“Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil Malaysia mengakhiri malapetaka ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, pihak berkuasa perlu lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dalam lunas undang-undang.

Nik NazmiPada masa sama, katanya, penyelesaian berkekalan ke atas status kaum Rohingya perlu dicapai termasuk mempertahankan hak kerakyatan mereka di Myanmar dengan segera.

“Suatu ketika dahulu, beberapa tokoh daripada Kerajaan Persekutuan dan parti politik tertentu mengambil bahagian dalam perhimpunan sama menegakkan hak Rohingya.

“Justeru, seluruh rakyat Malaysia harus bersatu menggesa kerajaan dan masyarakat antarabangsa, termasuk institusi seperti PBB, OIC dan Asean untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menafikan berlaku rusuhan membabitkan sekumpulan warga Rohingya di sekitar Kuala Lumpur seperti rakaman video yang tular.