Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurusan sampah KDEBWM berkesan, kebersihan meningkat

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: Pengurusan sisa pepejal dikendalikan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menunjukkan kesan positif dengan tahap kebersihan meningkat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri menaruh keyakinan KDEBWM mampu memberi perkhidmatan membanggakan demi memenuhi keperluan PBT dan masyarakat keseluruhannya.

“Hari ini KDEBWM menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang bagi mengurus kutipan sisa pepejal dan pukal, di kawasan ini.

“Jika mengikut statistik, nampak perubahan khususnya penurunan aduan diterima di kawasan ini dan saya berharap prestasi itu dikekalkan kerana ia salah satu janji kepada rakyat untk menjaga kebersihan di seluruh Selangor,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS juga KDEBWM serta Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM, di lobi MPS, di sini, hari ini.

CP2A9456Hian Wah berkata, setakat ini KDEBWM bekerjasama dengan tiga PBT iaitu Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan MPS dengan anak syarikat Kerajaan Negeri itu mengambil alih pengurusan sampah di kawasan PBT terbabit.

Katanya, KDEBWM menunjukkan prestasi baik dan mendapat sambutan rakyat dengan tahap kebersihan meningkat.

“Dengan pencapaian sebegini, kita akan terus memberi peluang kepada syarikat ini mengambil alih pengurusan sisa pepejal di PBT lain, pada masa depan.

“Aduan berkenaan sampah memang berkurangan kerana Kerajaan Negeri mengarahkan PBT dan KDEBWM bertindak segera juga meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Turut hadir, Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman; Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad; Pengarah KDEBWM, Syaiful Azmen Nordin; Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir serta hadirin lain.

CP2A9745 CP2A9547 CP2A9508