Categories
NASIONAL

Polis cari bukti tragedi tahfiz dalam tasik

KUALA LUMPUR 26 SEPT: Polis kembali semula ke pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, di sini untuk meneruskan siasatan kes kebakaran pusat tahfiz terbabit.

BH ONLINE melaporkan menyertai pasukan penyiasat, Unit Forensik dan Pasukan Penyelam Polis, yang akan menumpukan siasatan di Taman Tasik Datuk Keramat, termasuk menyelam ke dasar tasik berkenaan dipercayai untuk mencari bahan bukti bagi membantu siasatan.

Polis mula menutup kawasan sekitar Taman Tasik Datuk Keramat kira-kira pada jam 9.40 pagi.

Unit Forensik dan Pasukan Penyelam Polis tiba pada jam 10.30 pagi membawa bersama peralatan untuk melakukan selaman.

Empat anggota penyelam Polis kemudian melakukan selaman dan menurut sumber, mereka mencari satu unit pemutar skru dan satu lagi bahan yang dapat membantu melengkapkan siasatan.

“Kita cuba nak cari satu pemutar skru dan satu lagi barang bukti.

“Keadaan air tasik yang agak keruh ini mungkin menyukarkan kerja kita, bagaimanapun pencarian akan tetap berjalan,” katanya.

=EZY=